PRESIDEN FAM, Datuk Hamidin Mohd Amin (tengah) memberi kata-kata semangat kepada pemain skuad B-16 negara, hari ini. FOTO FB FAM
PRESIDEN FAM, Datuk Hamidin Mohd Amin (tengah) memberi kata-kata semangat kepada pemain skuad B-16 negara, hari ini. FOTO FB FAM
Amirul Fazli Zulkafli


Kuala Lumpur: Kejohanan Piala Asean Bawah 16 Tahun (B-16) menjadi medan terbaik buat skuad B-16 negara mempersiapkan pasukan ampuh bagi merealisasikan impian ke Piala Dunia B-17 pada 2025.

Pengurus skuad B-16 negara, Christopher Raj berkata, beliau yakin dengan skuad kendalian Javier Jorda Ribera untuk menampilkan aksi terbaik, sekali gus memberi gambaran awal kepada jurulatih itu merancang lebih mendalam mengenai perjalanan skuad muda selepas ini.

Jelasnya, pemain dipilih kali ini bertekad ingin memberikan persembahan cemerlang memandangkan ini sebagai plaform terbaik untuk mereka menonjolkan diri dan menjadi pasukan terkuat menjelang kempen kelayakan Piala Asia B-17 2025, Oktober depan.

"Sasaran peribadi saya adalah menyaksikan pasukan ini layak pada Piala Asia B-17 2025 nanti. Pada kejohanan terbabit kita akan ada peluang untuk bersaing pada Piala Dunia B-17 2025 di Qatar.

"Pada saingan itu, slot automatik diberikan kepada pasukan benua Asia sudah bertambah kepada sembilan negara termasuk tuan rumah berbanding tiga ke empat negara sahaja sebelum ini.

"Bukan saya cakap Piala Asean B-16 tidak penting, kejohanan ini penting untuk menguji pasukan kerana kita akan menguji negara berkualiti seperti Thailand dan Australia," katanya pada sidang Media Pengenalan Skuad B-16 di Petaling Jaya, hari ini.

Selain itu, Christopher percaya adalah Ribera individu tepat untuk mengendalikan skuad itu kerana jurulatih itu mempunyai data terperinci pemain dan dia tahu yang mana terbaik.

"Bagi saya, Ribera ada menyimpan data pemain remaja negara sejak berada di Malaysia tujuh tahun lalu.

"Menerusi data itu, dia boleh tahu ada pemain di Perlis, Terengganu atau Kedah yang memiliki kualiti dan mereka yang dipanggil adalah kumpulan pemain terbaik di dalam kalangan terbaik," katanya.

Skuad B-16 Malaysia akan berlepas ke Indonesia untuk Kejohanan Piala Asean B-16, esok, sebelum saingan bermula Ahad ini.

Sebelum ini, Malaysia pernah muncul juara sebanyak dua kali pada 2013 di Myanmar dan 2019 di Thailand 2019 ketika kejohanan itu dikenali sebagai Kejuaraan AFF B-16.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 19 Jun 2024 @ 5:27 PM