SKUAD muda negara akan beraksi di AFF B-16 dekat Surakarta, Indonesia. FOTO FAM
SKUAD muda negara akan beraksi di AFF B-16 dekat Surakarta, Indonesia. FOTO FAM
Firdaus Hashim


Kuala Lumpur: Skuad bawah 16 (B-16) tahun negara adalah permata bola sepak negara yang memiliki peluang paling hampir untuk beraksi di Piala Dunia di peringkat bawah umur babitkan kitaran Piala Dunia B-17 dan Piala Dunia B-20.

Menurut Presiden Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM), Datuk Hamidin Mohd Amin, beliau percaya skuad Harimau Cilik akan mampu melangkah ke Piala Dunia bawah umur suatu hari nanti.

Untuk itu, Hamidin mahu skuad B-16 kendalian Javier Jorda Ribera wajib melangkah ke final saingan AFF B-16 di Surakarta, Indonesia bagi mengasah dan menajamkan lagi prestasi pasukan sebelum memikirkan kelayakan Piala Asia B-17 dan pusingan akhir Piala Asia pada tahun depan yang turut menawarkan tiket ke Piala Dunia B-17 nanti.

"Sasaran saya untuk kejuaraan ini adalah layak ke final kerana Malaysia bukan lagi di zaman 20 hingga 30 tahun dahulu yang masuk hanya untuk bertanding dan pulang selepas kalah dua perlawanan.

"Anda semua mesti mempunyai 'mindset' yang semua pasukan berada pada tahap sama dan kita perlu lawan dan hadapi mereka jika mahu pergi lebih jauh terutama ke Piala Asia dan Piala Dunia," katanya.

Di Sukarta nanti, Malaysia diletakkan dalam Kumpulan C bersama Timor Leste, Thailand dan Australia di mana aksi pertama menyaksikan pasukan negara berdepan Timor Leste Ahad ini.

Juara dan satu naib juara terbaik dari tiga kumpulan akan layak ke peringkat separuh akhir sebelum pemenang mara ke final kejohanan serantau itu.

Untuk rekod, pasukan B-16 negara pernah muncul juara saingan AFF B-16 sebanyak dua kali masing-masing pada 2013 dan 2019.

Malah, skuad juara pada 2013 itu hampir mencipta sejarah layak ke Piala Dunia B-17 sebelum dihampakan Australia di aksi suku akhir di mana empat pasukan terbaik di Piala Asia B-16 ketika itu akan menggenggam tiket ke Piala Dunia B-17 yang berlangsung di Chile pada 2015 lalu.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 21 Jun 2024 @ 6:23 PM