PEMAIN Selangor FC, Sharul Nazeem Zulpakar (kiri) diasak pemain Perak FC, Luciano Guaycochea di Stadium MBPJ.  FOTO Eizairi Shamsudin
PEMAIN Selangor FC, Sharul Nazeem Zulpakar (kiri) diasak pemain Perak FC, Luciano Guaycochea di Stadium MBPJ. FOTO Eizairi Shamsudin
Syazwan Msar


Kuala Lumpur: Pengendali Perak FC Yusri Che Lah mengakui barisan anak buahnya tidak perlu malu walaupun terpaksa akur tewas kepada Selangor FC 1-2.

Yusri berkata, barisan anak buahnya mempamerkan semangat juang tinggi di hadapan ribuan penyokong tuan rumah hingga mampu menguasai babak kedua perlawanan.

"Walaupun kami tewas tapi tidak perlu berasa malu kerana 45 minit babak kedua dalam tangan kami. Saya boleh katakan, babak kedua kami berjaya mendominasi perlawanan dan cuba bermain sehabis baik.

"Pada separuh masa pertama pula, kita cuba untuk mengawal perlawanan dan posisi tetapi ada beberapa momen yang tidak menjadi. Jadi saya bersetuju babak pertama kami banyak memberi ruang kepada Selangor," katanya.

Pada perlawanan petang semalam menyaksikan Selangor FC terus mengekalkan rekod cemerlang apabila meraih kemenangan 2-1 menumpaskan Perak FC pada perlawanan yang berlangsung di Stadium Majlis Bandaraya Petaling Jaya (MBPJ).

Kedua-dua go tuan rumah disumbangkan pemain import mereka Ronnie Fernandes manakala jaringan pasukan Perak FC disempurnakan pemain gantian Muhammad Nur Azfar Fikri Azhar.

Skuad The Bos Gaurus akan berehat panjang sebelum menyambung aksi Liga Super menentang Penang pada 13 Julai depan, manakala Selangor FC akan berdepan Kuching City FC bagi aksi suku akhir Piala FA 2024.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 24 Jun 2024 @ 1:58 PM