Ketua Jurulatih KDA FC Nafuzi Zain memuji aksi pemainnya yang layak ke saingan suku akhir Piala FA musim ini. FOTO IZZALI ISMAIL
Ketua Jurulatih KDA FC Nafuzi Zain memuji aksi pemainnya yang layak ke saingan suku akhir Piala FA musim ini. FOTO IZZALI ISMAIL
Izzali Ismail


Alor Setar: Ketua Jurulatih Kedah Darul Aman FC (KDA FC) Nafuzi Zain menganggap kemenangan besar 5-0 menewaskan Bukit Tambun FC (BTFC) pada saingan Piala FA di Stadium Darul Aman semalam sebagai satu keyakinan dan permulaan yang baik buat skuadnya bagi meneruskan aksi dalam Liga Malaysia selepas ini.

Menurut Nafuzi, beliau mahu corak permainan menyerang yang ditunjukkan pemainnya seperti aksi menentang BTFC ini dapat diteruskan dalam aksi-aksi lain yang akan dihadapi Kedah selepas ini.

"Bagi saya yang penting adalah kemenangan yang kami cari, tidak kira dengan pasukan mana yang kami jumpa kerana kami fokus kami adalah mencari kemenangan untuk layak ke saingan suku akhir.

"Ini memberi keyakinan yang baik buat pasukan dan apa yang saya mahu lihat adalah cara persembahan pasukan sebegini walau dengan mana-mana pasukan yang akan kami tentangi selepas ini.

"Dari segi keberkesanan dan memanfaatkan peluang gol pada malam ini saya anggap satu permulaan baik buat kami selepas rehat panjang dalam liga," katanya selepas tamat aksi saingan pertama Piala FA semalam.

Nafuzi juga berkata corak permainan yang lebih menekankan serangan dan memanfaatkan peluang bagi menghasilkan gol dengan menyenaraikan Ebenezer Assifuah yang bergandingan dengan Milos Gordic dalam kesebelasan utama membuahkan hasil.

"Barisan kesebelasan utama yang dipilih pada perlawanan ini adalah lebih kepada menyerang dan saya memberi peluang terbaik kepada dua penyerang kami iaitu Gordic dan Assifuah untuk mencari gol.

"Saya bersyukur kerana kedua-dua pemain ini dapat menghasilkan gol seperti yang telah dirancangkan dan jika diberi peluang seterusnya, saya yakin persefahaman dan kombinasi kedua pemain ini mampu bertambah baik," katanya.

Pada suku akhir seterusnya, KDA FC bakal menentang Penang FC yang mara selepas menewaskan Sri Pahang FC dengan keputusan 4-3 melalui penentuan sepakan penalti selepas terikat 1-1 dalam masa sebenar, semalam.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 15 Jun 2024 @ 2:23 PM