GORDIC  (kiri) meraikan gol ketika menentang Penang FC.
GORDIC (kiri) meraikan gol ketika menentang Penang FC.
Izzali Ismail


Alor Setar: Empat gol jaringan penyerang utama Kedah Darul Aman FC (KDA FC) Milos Gordic pada saingan pramusim setakat ini membuktikan penyerang kelahiran Serbia itu bekerja keras mengasah ketajaman untuk mengharungi saingan Liga Super yang bermula pada minggu depan.

Dua gol dihasilkannya ketika menentang Penang FC Rabu lalu dan dua lagi ketika berdepan Negeri Sembilan FC (NSFC) pada 24 April yang juga dilaman sendiri memberi ilham terbaik buat ketua jurulatih Nafuzi Zain yang kini sedang melakukan percaturan dalam mempersiapkan pasukan.

Menurut Nafuzi, perkembangan penyerang import tinggi lampai itu setakat ini bertambah baik dengan tahap persefahaman ditunjukkannya dalam usaha menajamkan lagi jentera serangan pasukan.

"Saya berharap Gordic dapat meningkatkan tahap konsistensi yang dia kekalkan yang mana ini juga dapat membantu meningkatkan lagi tahap perkembangan pasukan sebelum kami memulakan aksi Liga Super pada 11 Mei depan.

"Gordic pula bagaimanapun tetap memerlukan masa untuk mencapai tahap terbaiknya disebabkan pelbagai faktor seperti cuaca dan suasana permainan baharu di sini kerana ianya ianya berbeza dari apa yang dia lalui sebelum ini.

"Saya bagaimanapun berpuas hati dengan perkembangan serta peningkatan ditunjukkannya hingga setakat ini," katanya.

Sementara itu KDA FC bakal melengkapkan saingan pramusim dengan aksi terakhir menentang Melaka FC di Stadium Darul Aman pada malam esok.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 3 Mei 2024 @ 3:09 PM