AKSI perlawanan persahabatan Poland menentang Ukraine. -FOTO AFP
AKSI perlawanan persahabatan Poland menentang Ukraine. -FOTO AFP
AFP

Warsaw: Poland meraih kemenangan selesa 3-1 ke atas pasukan ujian Ukraine dalam aksi pemanas badan menjelang Euro 2024, tetapi mereka kini dilanda kebimbangan berikutan keadaan penyerang Arkadiusz Milik yang mengalami kecederaan.

Kesemua empat gol hadir pada babak pertama dengan Sebastian Walukiewicz menjaringkan gol sulung untuk Poland dalam perlawanan antarabangsa pertamanya sejak 2020 dan Piotr Zielinski menggandakan pendahuluan pasukan tuan rumah dengan rembatan dari jarak jauh.

Poland mendahului 3-0 selepas 30 minit apabila Taras Romanczuk menanduk masuk dari sepakan sudut, sebelum Artem Dovbyk membalas satu gol untuk pelawat tiga minit sebelum rehat.

Ukraine menurunkan pasukan yang berbeza ketika mereka seri 0-0 dengan Jerman Isnin lalu dengan pengendali skuad itu, Serhiy Rebrov menggunakan peluang untuk melihat seramai mungkin pemain sebelum Euro.

Jurulatih Poland, Michal Probierz, merehatkan penjaga gol Wojciech Szczesny dan penyerang Robert Lewandowski, yang pasti akan diturunkan sebagai pemain utama di Jerman untuk memberi peluang kepada pemain seperti Milik untuk beraksi.

Milik bagaimanapun mengalami kecederaan pada lututnya pada minit kedua sehingga terpaksa digantikan oleh Kacper Urbanski yang membuat penampilan sulungnya.

Kecederaan Milik mungkin akan membuatkan dia digugurkan dari skuad utama apabila Probierz akan menamakan skuad terakhirnya.

Poland akan bermain perlawanan pemanas badan terakhir mereka sebelum Euro menentang Turki pada Isnin ini manakala Ukraine menamatkan persiapan mereka dengan perlawanan menentang Moldova pada hari Selasa.

Ukraine berada dalam Kumpulan E bersama Belgium, Slovakia dan Romania, manakala Poland akan menentang Perancis, Belanda dan Austria dalam Kumpulan D.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 8 Jun 2024 @ 12:48 PM