AKSI  Willian (tengah) melepasi kawalan dua pemain Fulham di  Craven Cottage. FOTO AFP
AKSI Willian (tengah) melepasi kawalan dua pemain Fulham di Craven Cottage. FOTO AFP
Agensi

MIKEL Arteta percaya Willian bakal menjadi contoh terbaik kepada pemain muda Arsenal selepas bekas sayap Chelsea itu bersama pemain baharu mereka, Gabriel menyinar ketika menentang Fulham.

Willian muncul pemain pertama sejak Ray Parlour pada 1992 melakukan dua bantuan jaringan dalam aksi pertama bersama Arsenal dalam perlawanan menyaksikan Gabriel dan Pierre-Emerick Aubameyang menggegar gawang lawan. Alexandre Lacazette melengkapkan kemenangan bergaya 4-0 di Craven Cottage.

Arteta menegaskan Willian dibawa masuk dengan kontrak tiga tahun bagi mengimbangi skuad mudanya.

Berdasarkan prestasi Sabtu lalu, Arteta percaya betapa bergunanya Willian kepada juara Piala FA itu.

"Willian, anda dapat nikmati lebih daripada itu,'' kata Arteta. ''Sekali lagi dia tunjukkan kesungguhannya mencapai sesuatu.

"Itu yang kami jangkakan. Kami perlukan adunan, kami miliki ramai pemain muda berbakat besar dan masa depan cerah tetapi mereka perlukan model dan saya fikir Willian contoh paling tepat buat mereka.

"Dia tidak bercakap banyak dalam bilik persalinan tetapi kerap bersuara di atas padang dan itu cara yang betul.''

Selain meledak gol pertama dalam aksi sulungnya bersama Arsenal, Gabriel yang dibeli daripada kelab Ligue 1, Lille mempamerkan prestasi cemerlang di bahagian pertahanan.

Arteta yakin pemain Brazil itu tiada masalah menyesuaikan diri dengan Liga Perdana.

"Kami mengikutinya sekian lama. Dia mempunyai kualiti yang diharapkan,'' kata Arteta.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 14 September 2020 @ 12:00 PM