POGBA meraikan gol sepakan penalti bersama rakan sepasukan. FOTO AFP
POGBA meraikan gol sepakan penalti bersama rakan sepasukan. FOTO AFP

AFP

LONDON: Manchester United melonjak ke tangga keempat Liga Perdana Inggeris ketika jaringan Anthony Martial membuka jalan untuk kemenangan 3-0 ke atas Fulham sebentar tadi.

Anak buah Ole Gunnar Solskjaer mendahului menerusi jaringan Paul Pogba pada awal babak pertama di Craven Cottage.

Namun Martial lebih mencuri tumpuan apabila pemain sayap itu meluru sepanjang padang sebelum melakukan penyudah, sekaligus menggandakan gol United sebelum tamat separuh masa pertama.

Aksi solo itu kemudiannya disusuli penalti Pogba pada separuh masa kedua bagi membolehkan United mara ke tangga keempat, satu mata di atas Chelsea yang akan berdepan Manchester City malam esok.

United yang menang enam perlawanan berturut-turut dalam semua kejohanan di laman lawan buat kali pertama sejak Mei 2009, kini di posisi terbaik untuk merebut kelompok empat teratas selepas ketinggalan 11 mata pada hari Jose Mourinho dipecat pada Disember.

Mereka menang 10 daripada 11 perlawanan dalam semua kejohanan sejak Solskjaer menggantikan Mourinho selaku pengendali sementara.

United kekal dengan rekod tanpa kalah di bawah kendalian bekas penyerang mereka, yang berjaya menceriakan pasukan dan meletakkan dirinya dalam saingan untuk jawatan pengendali tetap.

Kemenangan selesa United itu, bagaikan persiapan sempurna untuk aksi pertama kelompok 16 terbaik Liga Juara-Juara menentang Paris Saint Germain di Old Trafford awal pagi Rabu.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 9 Februari 2019 @ 10:56 PM