AKSI antara Liverpool dan Fulham di separuh akhir Piala Liga pagi tadi. FOTO AFP
AKSI antara Liverpool dan Fulham di separuh akhir Piala Liga pagi tadi. FOTO AFP
AFP

London: Liverpool akan berdepan Chelsea di final Piala Liga selepas berjaya menyelamatkan diri dalam aksi mendebarkan apabila seri 1-1 menentang Fulham dalam perlawanan separuh akhir kedua.

Memiliki kelebihan di atas kemenangan 2-1 pada separuh akhir pertama, Liverpool mendahului menerusi jaringan awal Luis Diaz di separuh masa pertama di Craven Cottage.

Ia sepatutnya menjadi isyarat bahawa anak buah Jurgen Klopp boleh beraksi dalam keadaan selesa.

Bagaimanapun, mereka terlepas beberapa peluang untuk mematikan semangat Fulham sebelum gol lewat Issa Diop menjadikan aksi lebih dramatik.

Liverpool hampir tidak dapat bertahan di bawah tekanan Fulham sebelum akhirnya meraih kemenangan agregat 3-2.

"Ini bukan malam untuk menyinar atau bermain bola sepak yang cantik, ia adalah malam untuk layak ke final. Anak buah saya bermain dengan baik dan saya sangat gembira," kata Klopp.

"Mereka yang sangat muda, sangat luar biasa. Saya sangat gembira melihat reaksi mereka di bilik persalinan."

Ia bakal menjadi ulangan final 2022 yang dimenangi Liverpool menerusi penentuan penalti, dengan The Reds akan membuat penampilan ke-14 dalam aksi Piala Liga menentang Chelsea di Wembley pada 25 Februari.

"Ia menakjubkan. Kami mempunyai pengalaman sebelum ini, kami tahu apa yang diharapkan.

"Anda tidak boleh mengambil mudah jika anda adalah sebahagian daripada pasukan yang boleh melayakkan diri untuk trofi," kata Klopp.

Liverpool memenangi Piala Liga dengan rekod sembilan kali, manakala Chelsea, yang menewaskan Middlesbrough 6-2 secara agregat dalam satu lagi separuh akhir, menjulang trofi itu sebanyak lima kali, kali terakhir pada 2015.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 25 January 2024 @ 8:06 AM