SILVA (tengah) jaring gol ke-1000 buat Portugal. -Foto EPA
SILVA (tengah) jaring gol ke-1000 buat Portugal. -Foto EPA
AFP

Penyerang AC Milan, Andre Silva meledak gol ke-1,000 Portugal, namun ia tidak membawa sebarang makna apabila skuad yang tidak menurunkan Cristiano Ronaldo terikat 2-2 dengan Tunisia pada aksi pemanas badan Piala Dunia, di sini, semalam.

Selepas kekalahan 0-3 kepada Belanda di Geneva Mac lalu, peminat Portugal mengharapkan kemenangan dalam tempoh kurang dua minggu sebelum bertandang ke Russia.

Namun juara bertahan Eropah itu yang akan menentang Sepanyol, Maghribi dan Iran dalam Kumpulan B gagal memberikan impak diharapkan.

Kehadiran Ronaldo dan sentuhan berbisanya pasti dinantikan di Braga, namun penyerang Portugal itu diberi cuti selepas kejayaan Real Madrid menewaskan Liverpool 3-1 pada final Liga Juara-Juara Sabtu lalu.

Jurulatih Portugal, Fernando Santos memberi peluang buat Silva dan biarpun kurang beraksi di Milan, pemain berusia 22 tahun itu menanduk gol pembukaan susulan hantaran Ricardo Quaresma pada minit ke-22.

Ia adalah gol ke-1,000 buat Portugal.

Portugal menggandakan jaringan pada minit ke-34 apabila Joao Mario, yang turut berdepan kempen sukar di Inter MIlan dan dipinjamkan ke West Ham, merebut bola daripada sepakan sudut untuk rembatan ke gawang.

Biarpun mempamerkan aksi lebih fizikal sepanjang permainan, Tunisia ternyata kurang daripada aspek teknik dan keupayaan melakukan serangan.

Namun ketika Raphael Guerreiro melakukan kesilapan,penyerang Esperance Anice Badri pantas merebut peluang itu sebelum tamat separuh masa pertama.

Portugal cuba untuk mendominasi perlawanan namun selepas percubaan Bernardo Silva  tersasar pasukan tuan rumah menerima padah akibat kerapuhan benteng pertahanan apabila Fakhredine Ben Youssef  menjaringkan gol penyamaan pada minit ke-64.

Portugal mungkin akan beraksi tanpa Ronaldo apabila mereka berdepan Belgium di Brussels pada 2 Jun dan Algeria di Lisbon, 7 Jun ini.

 

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 29 Mei 2018 @ 9:19 AM