LEICESTER sah kembali ke EPL musim depan. FOTO LEICESTER CITY
LEICESTER sah kembali ke EPL musim depan. FOTO LEICESTER CITY
AFP

London: Leicester City kembali naik ke Liga Perdana Inggeris (EPL) selepas seteru utama, Leeds United tumbang mengejut 0-4 di Queens Park Rangers.

Keputusan itu meletakkan Leicester di puncak Liga Kejuaraan apabila mengumpul 94 mata dengan berbaki dua perlawanan manakala Leeds kekal di tempat kedua dengan 90 mata tetapi hanya berbaki satu perlawanan.

Ipswich Town yang menduduki tempat ketiga berpeluang mengatasi Leeds merampas kedudukan kedua kerana mereka kini mempunyai 89 mata masih berbaki tiga perlawanan.

"Ia bukan di tangan kami lagi, kami perlu jujur," kata bos Leeds, Daniel Farke kepada BBC.

"Perlumbaan belum berakhir, jika Ipswich memenangi dua perlawanan seterusnya maka saya akan mengucapkan tahniah tetapi jika mereka tidak memenanginya, maka kami akan beraksi sebaik mungkin untuk perlawanan terakhir (menentang Southampton).

"Selagi kami mempunyai peluang, saya tak akan menyerah kalah," katanya lagi.

Foxes bimbingan Enzo Maresca kembali ke EPL selepas diturunkan dari liga utama itu pada musim lalu.

Dua perlawanan terakhir mereka bermula dengan lawatan ke Preston pada Selasa ini sebelum mereka menamatkan musim dengan perlawanan akhir di tempat sendiri menentang Blackburn pada 4 Mei.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 27 April 2024 @ 7:54 AM