SKUAD Harimau Malaya menjalani sesi latihan di Wisma FAM Kelana Jaya, semalam. FOTO BERNAMA
SKUAD Harimau Malaya menjalani sesi latihan di Wisma FAM Kelana Jaya, semalam. FOTO BERNAMA
Syazwan Msar


Kuala Lumpur: Skuad Harimau Malaya kini mempunyai banyak pilihan pemain berkualiti termasuklah individu yang berada di bangku simpanan sekali gus menyaksikan pengendali pasukan kebangsaan, Kim Pan-gon tidak perlu 'pening kepala' menyenaraikan barisan terbaik pada kejohanan Pestabola Merdeka yang akan bermula 13 Oktober ini.

Sentuhan Pan-gon sejak mula dilantik Januari tahun lalu menyaksikan barisan pemain skuad Harimau Malaya mula mendapat perhatian di peringkat antarabangsa terutamanya selepas mencatatkan keputusan seri bertemu pasukan berada di ranking 100 terbaik dunia.

Malah, daripada sembilan perlawanan tahun ini, enam kemenangan dan dua seri ketika mengikat Syria serta China pada aksi persahabatan bulan lalu, ia menyerlahkan lagi keseimbangan pasukan di setiap posisi.

Selain keghairahan peminat untuk menyaksikan kualiti jentera serangan negara yang diketuai Faisal Halim, Arif Aiman Hanapi dan Darren Lok, persaingan di posisi penjaga gol juga seakan mampu menjelmakan senyuman kepada Pan Gon.

Tonggak Kedah Darul Aman FC (KDA FC), Kalamullah Al Hafiz Mat Rowi yang berada dalam senarai bersedia turut akui Pan-gon kini memiliki ramai calon berkualiti untuk dipanggil sertai Harimau Malaya.

"Bagi saya semuanya adalah yang terbaik untuk mendapat panggilan kebangsaan kerana mereka sudah tunjukkan prestasi terbaik dalam setiap perlawanan (di peringkat kelab)," katanya.

Dalam panggilan latihan terbaharu, Pan-gon seakan melunaskan permintaan penyokong apabila menyenaraikan penjaga gol Terengganu, Mohd Suhaimi Husin untuk sertai Ahmad Syihan Hazmi Mohamed dan Azri Ghani.

Untuk rekod, Malaysia kini turut memiliki beberapa lagi penjaga gol berkualiti seperti Rahadiazli Rahalim(Terengganu), Sam Somerville (Selangor), Damien Lim (Sabah) dan Sikh Izhan Nazrel Sikh Azman (Negeri Sembilan).

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 8 Oktober 2023 @ 3:43 PM