CAION meraikan gol jaringannya pada perlawanan Liga Super antara Selangor FC menentang KDA FC di Stadium MBPJ, Sabtu lalu. FOTO EIZAIRI SHAMSUDIN
CAION meraikan gol jaringannya pada perlawanan Liga Super antara Selangor FC menentang KDA FC di Stadium MBPJ, Sabtu lalu. FOTO EIZAIRI SHAMSUDIN
Firdaus Hashim


Kuala Lumpur: Penyerang import Selangor FC, Herlison Caion enggan dianggap wira selepas menjaringkan dua gol dan dinobatkan pemain terbaik perlawanan ketika pasukannya menang besar, 4-1 ke atas Kedah Darul Aman (KDA) FC, Sabtu lalu.

Jelas Caion, kejayaan mengutip tiga mata sulung dalam saingan Liga Super musim ini adalah hasil kerjasama berpasukan dengan setiap tonggak adalah 'pemain terbaik'.

Pemain berasal dari Brazil itu mengakui tanpa bantuan dan sokongan rakan sepasukan, agak sukar untuk dirinya tampil berbisa dalam aksi di Stadium Majlis Bandaraya Petaling Jaya (MBPJ) itu.

Malah, berdasarkan rekod jaringan saingan Liga Super ketika ini, Caion sudah merekodkan lima gol sepanjang tiga aksi setakat ini untuk berada di tangga kedua dalam senarai penjaring terbanyak.

"Saya gembira (kemenangan pertama Selangor musim ini)…pertama sekali saya nak ucapkan terima kasih kepada rakan sepasukan kerana banyak membantu saya.

"Jurulatih beri saya peluang untuk bermain untuk pasukan dan gol berjaya dihasilkan.

"Saya cuma nak ucap terima kasih kepada rakan sepasukan yang banyak membantu," katanya pada sidang media sejurus berakhirnya aksi itu.

Menurutnya, dia mahu bekerja lebih keras bagi membantu skuad Red Giants mencapai keputusan positif dalam setiap aksi.

"Saya perlu kerja keras untuk dapatkan gol dan kalau saya tak bekerja keras, ia takkan berhasil…yang pertama saya perlukan kerjasama pasukan, siapa yang menjaringkan gol tidak penting, tapi yang mustahak adalah kemenangan seperti malam ini.

"Rakan sepasukan adalah penyebab kami meraih kemenangan pertama musim ini," katanya selepas Selangor hanya seri dalam dua aksi terdahulu dengan Kuala Lumpur City FC dan Negeri Sembilan FC.

Selain Caion yang meledak dua gol, tonggak tengah iaitu Mukhairi Ajmal dan Nor Hakim Hassan turut mencetak nama selaku penjaring, manakala Fayadh Zulkifli menjaringkan gol saguhati buat KDA FC.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 11 April 2022 @ 6:50 PM