Datuk Seri Fadillah Yusof dan Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi
Datuk Seri Fadillah Yusof dan Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi
BERNAMA

Kuala Lumpur: Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Fadillah Yusof hari ini mengucapkan Selamat Hari Bapa yang disambut hari ini kepada semua insan yang bergelar bapa.

"Sempena Hari Bapa yang disambut pada 16 Jun tahun ini, saya ingin mengucapkan Selamat Hari Bapa untuk setiap insan bergelar bapa, ayah, abah, baba, papa, walid, abi, appa, apak, daddy atau apa sahaja gelaran yang digunakan dengan penuh rasa hormat dan kasih sayang.

"Insan hebat ini hanya mahukan keluarganya dilindungi, hidup bahagia dan sempurna walaupun dirinya terpaksa berkorban jiwa raga. Seperti juga ibu, kasih sayang setiap bapa tanpa syarat, pengorbanan mereka tanpa batas," katanya dalam catatan di Facebook.

Hari Bapa disambut bagi menghargai peranan, jasa dan pengorbanan seorang ayah yang menjadi pelindung keluarga.

"Semoga Allah SWT menjadikan kita anak-anak yang soleh dan solehah, sentiasa berbakti kepada kedua orang tua kita, sama ada ketika hayat mereka mahupun setelah mereka tiada. Selamat Hari Bapa. Terima kasih Ayah," kata Fadillah.

Sementara itu, Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi menerusi catatan di Facebook turut mengucapkan Selamat Hari Bapa termasuk kepada Allahyarham bapanya Raden Hamidi Raden Abdul Fateh.

"Buat yang masih mempunyai bapa, sayangi dan hargailah mereka selagi masih ada. Setiap detik bersama mereka adalah anugerah yang tidak ternilai.

"Sentiasalah berdoa agar bapa anda semua diberikan kesihatan yang baik dan sentiasa diberkati hidupnya. Ingatlah bahawa kasih sayang dan perhatian kita adalah kebahagiaan mereka yang paling utama," katanya.

Dalam pada itu, Ahmad Zahid turut mengajak mereka yang sudah kehilangan bapa, mendoakan agar roh bapa mereka dicucuri rahmat Allah dan ditempatkan bersama para solihin.

"Ingatlah bahawa di sebalik kasih seorang ibu, terdapat perjuangan seorang insan bergelar bapa. Setiap pengorbanan dan kasih sayang mereka akan terus hidup dalam kenangan dan doa kita.

"Selamat Hari Bapa kepada semua insan yang bergelar abah, ayah, papa, daddy, walid, abi atau apa jua panggilan buat seorang bapa," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 16 Jun 2024 @ 9:06 AM