PEMAIN pertahanan, Ahmad Khuzaimi Piee. FOTO ARKIB NSTP
PEMAIN pertahanan, Ahmad Khuzaimi Piee. FOTO ARKIB NSTP
Syazwan Msar


Kuala Lumpur: Barisan pemain skuad Harimau Malaya memasang impian mahu memulihkan kembali maruah di Piala Persekutuan Bola Sepak Asean (AFF), pada penghujung tahun ini.

Ini berikutan skuad kebangsaan terpaksa pulang awal apabila terkandas di peringkat kumpulan pada penyertaan sebelum ini, sekali gus mengecewakan harapan penyokong bola sepak tanah air yang mahu melihat sekurang-kurangnya beraksi di pentas separuh akhir.

Pemain pertahanan Harimau Malaya, Ahmad Khuzaimi Piee memaklumkan cabaran getir sudah pastinya diharungi pasukan kebangsaan apabila akan bertemu Vietnam dan Singapura yang dilihat cukup 'liat' untuk ditumpaskan.

Namun, Khuzaimi yang beraksi bersama Negeri Sembilan FC berkata, barisan pemain Harimau Malaya ketika ini sudah berubah terutama corak permainan, sekali gus mampu membawa pulang kejayaan positif di kejohanan terbabit.

"Sebagai pemain apa yang boleh kami lakukan adalah memberikan aksi terbaik dan cuba 'membalas dendam' terhadap keputusan kurang memuaskan pada edisi terdahulu.

"Sudah tentunya pengendali Harimau Malaya, Kim Pan-gon mempunyai ramuan terbaik sebagai persiapan mengharungi kejohanan itu.

"Jika diturunkan kelak saya akan berusaha memberikan segalanya dan mengharapkan sokongan berterusan daripada penyokong untuk membantu skuad Harimau Malaya meraih kejayaan," katanya ketika dihubungi Arena Metro.

Khuzaimi antara watak penting yang membantu skuad Harimau Malaya meraih kejayaan pada aksi kedua Kumpulan E kempen kelayakan Piala Asia 2023, Jun lalu.

Menerusi undian Piala AFF yang berlangsung di Bangkok, semalam, skuad Harimau Malaya diundi dalam Kumpulan B bersama Vietnam dengan Singapura, Myanmar dan Laos.

Piala AFF yang sudah memasuki edisi ke-14 bakal menjadi pentas kepada Pan-gon untuk memperkukuhkan lagi pasukan bagi mengharungi Piala Asia 2023.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 31 Ogos 2022 @ 5:21 PM