AKSI pemain KDN FC ketika berdepan dengan Terengganu di Stadium Sultan Mizan Zainal Abidin, Gong Badak, malam tadi. FOTO GHAZALI KORI
AKSI pemain KDN FC ketika berdepan dengan Terengganu di Stadium Sultan Mizan Zainal Abidin, Gong Badak, malam tadi. FOTO GHAZALI KORI
Malik Muhamad


Kuala Terengganu: "Kami sudah bersedia sepenuhnya untuk mengharungi saingan Liga Malaysia (Liga M) pada musim ini,"ujar penolong ketua jurulatih Kelantan Darul Naim (KDN) FC, Rezal Zambery Yahya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas tamat perlawanan pramusim dan ujian video bantuan pengadil (VAR) menentang Terengganu FC (TFC) di Stadium Sultan Mizan Zainal Abidin, Gong Badak malam tadi yang berakhir dengan keputusan seri tanpa jaringan.

Mengulas lanjut, bekas pemain kebangsaan itu berkata, keseluruhannya beliau dan ketua jurulatih, Park Jaehong kini boleh tersenyum melihat persembahan bertenaga diperagakan anak buahnya terutama pada aksi persahabatan terakhir itu.

Bagaimanapun jelasnya, hanya faktor penyudah yang perlu diperbaiki lagi bagi memastikan anak buahnya mampu menjaringkan gol dalam setiap perlawanan yang diharungi.

"Perlawanan pada malam ini (malam tadi) sudah ada peningkatan dengan pemain beraksi mengikut perancangan ketua jurulatih dari Korea Selatan itu, keseluruhannya boleh kami rumuskan pemain sudah bersedia ditambah disiplin yang tinggi dipamerkan mereka.

"Cuma sedikit kerisauan mengenai ketumpulan penyudah yang perlu diperbaiki lagi menjelang saingan pertama liga menentang Sri Pahang FC di tempat lawan pada Sabtu ini.

"Ini kerana pemain berjaya mencipta peluang, tapi jika tidak disudahkan dengan jaringan sudah pasti mempengaruhi keputusan perlawanan, jadi kita perlu mengambil serius perkara tersebut dengan berbaki seminggu lagi," ujar Rezal Zambery ketika ditemui.

Ketika ditanya mengenai penggunaan VAR, beliau menjelaskan keputusan badan induk bola sepak negara memperkenalkannya adalah tindakan yang tepat selain sudah tiba masanya.

"VAR membantu keputusan yang dibuat oleh pengadil, jadi ini perkara positif di ketengahkan Liga Bolasepak Malaysia (MFL) dan Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM).

"Lagi satu ini menunjukkan kualiti yang lebih tinggi lagi dalam liga kita kerana penggunaan VAR ini sudah meluas di seluruh dunia, saya percaya selepas ini tiada lagi bantahan daripada mana-mana pasukan," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 4 Mei 2024 @ 5:19 PM