ASRAFF Aliffuddin antara pemain muda yang menyerlah bersama Kelantan Darul Naim Football Club (KDN FC) musim ini. FOTO IHSAN KDN FC
ASRAFF Aliffuddin antara pemain muda yang menyerlah bersama Kelantan Darul Naim Football Club (KDN FC) musim ini. FOTO IHSAN KDN FC
Nor Amalina Alias


Kota Bharu: Kelantan Darul Naim Football Club (KDN FC) menyifatkan keputusan mengekalkan penyerang muda, Asraff Aliffuddin sebagai pelaburan berbaloi.

Ini berikutan pemain berusia 25 tahun itu semakin menunjukkan kematangan dalam permainan termasuk menyumbang gol tunggal untuk KDN FC menewaskan Negeri Sembilan Football Club (NSFC) 1-0 dalam saingan pramusim, di Stadium Sultan Muhammad ke IV, Kota Bahru, malam tadi.

Penolong Ketua Jurulatih KDN FC, Rezal Zambery Yahya berkata, pihaknya sentiasa memberi peluang kepada pemain muda untuk menyerlah.

"Saya rasa permainan dia (Asraff) semakin baik, kami sebagai jurulatih nampak dia menunjukkan peningkatan dan berpotensi jadi tonggak utama jika kekalkan momentum seperti ini.

"Berbaloi kita kekalkan beliau, beberapa perlawanan dia ada cipta peluang dan bermain dengan baik walaupun tidak menjadikan jaringan," katanya pada sidang media selepas perlawanan malam tadi.

Katanya, kejurulatihan akan terus mengasah bakat pemain itu terutamanya ketajaman penyudah.

Rezal berkata, dia turut memuji persembahan pemain tempatan malam tadi yang menyaksikan skuad Hobin Jang Hobin berhempas pulas sehingga tamat perlawanan.

Katanya, persembahan bagus ditunjukkan mereka memberi kelebihan buat jurulatih membuat pilihan untuk memilih kesebelas utama bagi menghadapi saingan Liga Super 2024/25.

"Kita turunkan pemain yang tidak beraksi melawan Sri Pahang lalu, jadi peluang diberikan kepada semua pemain.

"Mereka yang harus memanfaatkan peluang yang ada dan mempamerkan persembahan terbaik," katanya.

Malam tadi, Asraff menjaringkan gol buat tuan rumah seawal minit ke7 dan keputusan 1-0 kekal hingga tamat perlawanan menceriakan 3,801 penonton yang hadir ke stadium.

Asraff antara pemain musim lalu yang dikekalkan selepas KDN FC membuat rombakan besar-besaran termasuk membuang semua import dan melepaskan sebahagian besar pemain tempatan.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 27 April 2024 @ 2:43 PM