Malik Muhamad


Kuala Terengganu: Pemangku ketua jurulatih Kelantan FC, Rezal Zambery Yahya menafikan isu luar padang mengganggu rentak permainan anak buahnya sehingga dibelasah 0-5 oleh Terengganu FC (TFC) di Stadium Sultan Mizan Zainal Abidin, Gong Badak, malam tadi.

Beliau turut menafikan pasukannya kini kian tenat selepas lima kali tewas termasuk kekalahan terbesar 0-5 dalam perlawanan ketujuh Liga Super itu.

Sebaliknya, beliau mendedahkan terlalu banyak kelemahan dalam padang menyebabkan pemainnya gagal melaksanakan tugas dengan lebih berkesan.

Kira-kira 30 minit sebelum sepak mula perlawanan malam tadi, kem pemain The Red Warriors itu dikejutkan dengan berita ketua jurulatihnya dari Korea Selatan, Choi Moon Sik direhatkan serta-merta berikutan prestasi pasukan yang kurang menjadi dan tempatnya diambil alih oleh Rezal Zambery.

"Kekalahan besar kepada TFC itu bukanlah berpunca daripada masalah luar padang, walaupun umum mengetahui ketua jurulatih itu direhatkan.

"Malah kedudukan pasukan pun belum tenat lagi kerana perbezaan mata dengan pasukan lain tidak ketinggalan begitu jauh dan kami masih ada harapan untuk memperbaiki lagi corak permainan.

"Sebaliknya faktor utama kekalahan adalah secara keseluruhannya banyak kelemahan dalam padang yang perlu kami perbaiki seberapa segera bagi mengelak pasukan terus keciciran mata lagi," kata Rezal Zambery selepas perlawanan.

REZAL Zambery tenang menjawab soalan pada sidang media selepas perlawanan. FOTO GHAZALI KORI
REZAL Zambery tenang menjawab soalan pada sidang media selepas perlawanan. FOTO GHAZALI KORI

TFC berpesta gol menerusi masing-masing satu jaringan Jordan Mintah, Adisak Kraisorn, Hakimi Abdullah dan dua jaringan Ivan Mamut.

Ketika ditanya mengenai permulaan kurang baik selepas mengambil alih tugasan itu, Rezal mengakui begitu kecewa, namun tidak mahu menyalahkan anak buahnya, sebaliknya beliau mengambil tanggungjawab itu dengan tenang.

"Sudah pasti satu permulaan kurang baik kepada saya sebab baharu ambil alih sebagai jurulatih sementara lebih-lebih lagi kami kalah dengan jaringan besar.

"Saya tidak banyak boleh lakukan perubahan selepas beberapa jam ketua jurulatih direhatkan, tetapi saya tidak mahu mengalah," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 5 April 2023 @ 2:42 PM