MUELLER (kanan) tidak dapat beraksi menentang Brazil. - Foto REUTERS
MUELLER (kanan) tidak dapat beraksi menentang Brazil. - Foto REUTERS
Reuters

BERLIN: Penyerang Thomas Mueller serta pemain tengah Mesut Ozil dan Emre Can tidak akan bersama skuad Jerman pada aksi persahabatan bertemu Brazil di Berlin, kata Persatuan Bola Sepak Jerman (DFB).

Mueller, 28, dan perancang Arsenal Ozil kedua-duanya diturunkan ketika Jerman seri 1-1 menentang Sepanyol kelmarin, dengan penyerang Bayern Munich itu menjaringkan gol penyamaan untuk memadamkan jaringan pembukaan Rodrigo Moreno.

“Thomas Mueller dan Mesut Ozil tidak akan menyertai skuad ke Berlin,” kata DFB dalam satu kenyataan di laman Twitter mereka.

Can, 24, tidak disenaraikan dalam perlawanan menentang Sepanyol kerana kecederaan belakang dan sudah kembali bersama kelab Liga Perdana Inggeris Liverpool selepas disahkan tidak sempat pulih untuk pertemuan dengan Brazil.

“Dengan masalah belakang yang dialaminya, Emre Can tidak berpeluang bermain menentang Brazil Selasa ini dan sudah pulang hari ini. Semoga cepat sembuh!,” kata DFB.

Badan induk bola sepak Jerman itu turut berkata, pemain tengah Bayern Munich Sebastian Rudy, yang terlepas aksi bertemu Sepanyol berikut kelahiran anaknya Khamis lalu, kembali bersama skuad.

Juara bertahan Jerman diundi dalam Kumpulan F Piala Dunia bersama-sama Mexico, Korea Selatan dan Sweden.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 25 Mac 2018 @ 9:48 AM