PENGARAH Pusat Sukan Universiti Malaya (UM), Afizal Abu Othman. -FOTO Arkib
PENGARAH Pusat Sukan Universiti Malaya (UM), Afizal Abu Othman. -FOTO Arkib
Oleh Firdaus Hashim


Kuala Lumpur: Tempoh kira-kira sebulan selepas berakhirnya konsert artis terkenal Britain, Ed Sheeran pada 24 Februari sebelum aksi penting skuad Harimau Malaya menentang Oman pada 26 Mac depan dilihat tidak mencukupi untuk rumput di Stadium Nasional Bukit Jalil (SNBJ) pulih sepenuhnya.

Pandangan itu diluahkan Pengarah Pusat Sukan Universiti Malaya (UM), Afizal Abu Othman yang menganggap tempoh selepas konsert menjelang aksi Kelayakan Piala Dunia 2026/Piala Asia 2027 itu tidak memadai bagi memastikan keadaan rumput di SNBJ benar-benar bersedia.

Katanya, isu utama yang membelenggu SNBJ adalah masalah pencahayaan di mana rumput di venue itu hanya mampu menerima cahaya matahari tidak kurang selama tiga jam lebih sehari.

Lantas, beliau menyarankan supaya tiadanya sebarang aktiviti di venue keramat skuad Harimau Malaya itu agar keadaan rumput benar-benar matang dalam tempoh tiga bulan ini.

"Sepatutnya tiada sebarang aktiviti dibenarkan untuk kembali pulih (memulihkan rumput). Macam dulu masa pakai (rumput) 'Cow Grass', jenis itu dah pakai lama.

"Akar-akar pun dah mencengkam ke bawah jadi kalau buat konsert pun selepas konsert, ia akan kuning tapi dia akan cepat pulih mungkin dalam tempoh seminggu akan pulih di mana balik hijau semula sebab dah matang.

"Contoh macam kawasan yang berbekas itu (keadaan padang SNBJ ketika ini), adalah kawasan tempat letak sistem audio yang berat.

"Platform yang digunakan untuk tutup permukaan rumput hanya boleh menampung orang saja untuk berdiri atau duduk atas platform itu. Tapi bila sistem audio, beratnya bertan-tan dan mengakibatkan ia tenggelam.

"Itu yang menyebabkan kerosakan lebih teruk kepada rumput," katanya yang sebelum ini pernah menguruskan beberapa kemudahan sukan seperti Stadium Bolasepak Cheras, fasiliti sukan Felda United dan kemudahan sukan di Universiti Malaysia Perlis.

Ujarnya lagi, keutamaan harus diberikan kepada skuad kendalian Kim Pan-gon yang dalam misi untuk layak ke pusingan ketiga Kelayakan Piala Dunia di mana keadaan padang SNBJ perlu berada ditahap optimum.

"Sebaiknya kena tumpu juga kepada (perlawanan) Oman sebab itu pun perlawanan penting bagi pasukan Malaysia. Kalau kita tengok, dah ada dua pemain yang bagus alami kecederaan iaitu Ubaidullah Shamsul yang kena ACL.

"Manakala Corbin Ong pula buku lali...terutama Corbin yang dia memang sentiasa berada dalam kesebelasan utama (skuad Harimau Malaya). Jadi sayang dan rugi kalau dia tak dapat main untuk Piala Asia 2023 (pusingan akhir di Qatar) nanti," katanya.

Jelasnya, jika konsert berkenaan tetap ingin diadakan pada Februari depan, beliau mencadangkan agar venue aksi Malaysia diubah ke Stadium Sultan Ibrahim (SSI) yang dilihat cukup sesuai dan moden.

"Satu lagi cadangan ialah konsert itu boleh diteruskan tapi untuk Malaysia menentang Oman dimainkan di SSI sebab masa tu pun bulan puasa. Jadi SSI boleh tampung 40,000 penonton dan padang 'confirm' elok."

Terdahulu, aksi final Piala Malaysia antara Johor Darul Ta'zim (JDT) dan Terengganu FC berlangsung dalam keadaan padang SNBJ yang cukup teruk.

Dalam aksi itu, JDT muncul pemenang hasil kemenangan 3-1 namun tamparan hebat diterima oleh kem negara apabila Ubaidullah dan Corbin disahkan alami kecederaan disebabkan permukaan padang tidak rata.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 12 Disember 2023 @ 3:03 PM