PADANG SNBJ dalam keadaan baik menjelang pertarungan malam ini.
PADANG SNBJ dalam keadaan baik menjelang pertarungan malam ini.
Firdaus Hashim


Kuala Lumpur: Stadium Nasional Bukit Jalil (SNBJ) tampak bersedia menjadi venue aksi antara skuad Harimau Malaya dan Oman, malam ini.

Berdasarkan tinjauan Arena Metro, permukaan padang SNBJ yang menjadi kecaman sebelum ini dilihat berada dalam keadaan baik dan sempurna.

Begitupun, ia hanyalah pandangan dari jauh dan tidak diketahui keadaan sebenar padang itu dari jarak dekat.

Namun dengan senario itu, ia setidak tidaknya meredakan ketegangan sebelum ini susulan keadaan padang yang didakwa berada dalam keadaan teruk.

Terdahulu, isu padang SNBJ terus hangat diperkatakan susulan tersebarnya video dan gambar permukaan padang yang 'rosak' ekoran penganjuran konsert Ed Sheeran pada 24 Februari lalu.

Malah isu sama turut berlaku pada November lalu apabila PSM membenarkan konsert Coldplay dianjurkan di atas padang SNBJ sekaligus permukaan padang rosak sedangkan ia adalah rumput baharu jenis Zeon Zoysia yang ditaja oleh Pemangku Sultan Johor, Tunku Mahkota Ismail.

Malam ini, skuad Harimau Malaya kendalian Kim Pan-gon akan turun menentang Oman dalam aksi Kelayakan Piala Dunia 2026/Piala Asia 2027.Sebelum ini, pasukan negara tewas di tangan Oman di Muscat dengan 0-2.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 26 Mac 2024 @ 8:40 PM