KETUA jurulatih Oman, Jaroslav Silhavy pada sidang media selepas perlawanan. FOTO BERNAMA
KETUA jurulatih Oman, Jaroslav Silhavy pada sidang media selepas perlawanan. FOTO BERNAMA
Firdaus Hashim

Kuala Lumpur: Kemenangan kedua ke atas skuad Harimau Malaya dianggap sukar namun pengendali Oman, Jaroslav Silhavy mengakui lega anak didiknya mampu membenam pasukan tuan rumah 2-0 di Stadium Nasional Bukit Jalil (SNBJ), di sini, malam tadi.

Jelas jurulatih baharu skuad The Reds itu, bermain sebagai satu unit adalah resepi kejayaan pemainnya apabila berjaya menghalang Malaysia daripada meraih sebarang gol dalam perlawanan keempat Kumpulan D Kelayakan Piala Dunia 2026/Piala Asia 2027 itu.

Katanya, corak permainan tuan rumah nyata berbeza daripada aksi pertama di Muscat, di mana Oman turut berjaya mencatat kemenangan dengan angka jaringan sama minggu lalu.

"Sudah tentu perlawanan ini lebih sukar berbanding di Oman kerana Malaysia bermain di tempat sendiri dan mereka mahu meraih kemenangan tetapi kami berjaya mengawal perlawanan.

"Saya gembira dengan semua pemain dan terutama Ibrahim yang beraksi cemerlang serta terima kasih kepada penyokong kami yang hadir menjadikan kemenangan ini sebagai usaha bersama.

"Kami baru bersama-sama dalam tempoh yang singkat dan cuba menggunakan kombinasi yang sesuai. Bola sepak adalah permainan berpasukan dan mereka berjaya bermain sebagai satu pasukan untuk meraih kemenangan ini," katanya pada sidang media selepas aksi itu.

Dalam aksi itu, dua gol Oman dijaringkan dihujung permainan setiap babak menerusi sepakan penalti Omer Al Malki dan Mubarak Al Ghafri bagi membolehkan pasukan itu mengumpul sembilan mata daripada empat aksi dilalui setakat ini.

Ditanya mengenai permukaan padang SNBJ, Silhavy menganggap kedua-dua pasukan berdepan sedikit masalah untuk menyesuaikan diri di atas permukaan yang kurang rata itu.

"Keadaan padang memberikan kesan kepada kedua-dua pasukan dan ini buatkan kami tidak merasai kesukaran beraksi di atasnya tetapi kemenangan ini adalah bukti usaha bersama setiap pemain yang beraksi sebagai satu pasukan," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 27 Mac 2024 @ 12:36 PM