BRUMA meraikan gol keempat Portugal bersama rakan sepasukan.
BRUMA meraikan gol keempat Portugal bersama rakan sepasukan.
Reuters

Guimaraes: Portugal yang beraksi tanpa Cristiano Ronaldo dan beberapa pemain utama tiada masalah membelasah Sweden 5-2 dalam aksi persahabatan awal pagi tadi.

"Ia ujian sangat penting kepada kami. Kami gunakan konsep defensif, saya sukakan cara ini, semangat dan komitmen sangat bagus. Tetapi ada konsep lain yang kami perlu perbaiki," kata jurulatih Roberto Martinez kepada wartawan.

Portugal yang mara ke pusingan akhir Euro 2024 dengan memenangi kesemua sepuluh aksi kelayakan bermula garang dengan meledak tiga gol pada babak pertama menerusi Rafael Leao, Matheus Nunes dan Bruno Fernandes.

Leao membuka tirai jaringan pada minit ke-24 hasil rembatan padu ke penjuru gawang dan pemain tengah Manchester City Nunes menambah gol kedua minit ke-33 menerusi percubaan dari sebelah kanan gawang Sweden.

Fernandes menjadikan kedudukan 3-0 apabila Fernandes mudah menolak bola masuk dari jarak dekat hasil hantaran Nelson Semedo.

Pemain gantian Bruma menambah gol keempat minit ke-57 tetapi Viktor Gyokeres mendapatkan jaringan pertama Sweden dari jarak dekat seminit selepas itu.

Goncalo Ramos melengkapkan kemenangan bergaya Sweden pada minit ke-62 namun gawang mereka bocor pada masa kecederaan hasil tandukan Gustaf Nilsson.

"Perlawanan yang bagus tetapi kami sepatutnya dapat melakukannya dengan lebih baik kerana kami melepaskan dua gol yang tidak sepatutnya," kata Nunes.

"Kami mahu ke Euro dengan kuat dan cuba mengekalkan rekod bersih. Itu yang kami cuba perbaiki, terus jaringkan gol dan tanpa bolos."

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 22 Mac 2024 @ 7:52 AM