Bintang Portugal, Cristiano Ronaldo kecewa selepas pasukannya gagal ke separuh akhir Piala Dunia. FOTO Reuters
Bintang Portugal, Cristiano Ronaldo kecewa selepas pasukannya gagal ke separuh akhir Piala Dunia. FOTO Reuters
Agensi

Doha: Cristiano Ronaldo tidak akan pulang ke Lisbon pada Ahad selepas kekalahan mengejut skuad kebangsaan negaranya pada suku akhir Piala Dunia Qatar ke atas Maghribi.

Ronaldo ditemani sembilan lagi pemain lain yang akan kekal di Qatar, selepas Persekutuan Bola Sepak Portugal mengumumkan hanya 14 pemain akan kembali ke ibu negara mereka susulan kekalahan bersejarah pada Sabtu.

Bersama bekas penyerang Manchester United itu antaranya Bernardo Silva, Bruno Fernandes, Diogo Dalot, Ruben Neves, Rui Patricio, Raphael Guerreiro, Rafael Leao, Joao Cancelo dan Maheus Nunes, akan kekal di Qatar.

Daripada 26 pemain dalam skuad Piala Dunia, Danilo Pereira dan Nuno Mendes sudahpun menarik diri berikutan kecederaan.

Pemain pulang ke Lisbon dan kemudian akan bersama kelab bola sepak masing-masing dengan Porto (Pepe, Otavio, Diogo Costa), dan luar negara seperti Ruben Dias (Manchester City) dan Jose Sa (Wolves).

Ia aksi Piala Dunia perlu dilupakan buat skuad kendalian Fernando Santos yang tersingkir dalam kelompok lapan terbaik kepada pasukan Singa Atlas yang melakar sejarah sebagai negara Afrika pertama mara ke separuh akhir Piala Dunia.

Begitupun, ini mungkin kejohanan terburuk buat kapten Portugal, Ronaldo, yang kembali ke negara kelahirannya tanpa kelab selepas kontrak bersama Manchester United tamat susulan temubual sensasinya bersama Piers Morgan.

Ketika kejohanan itu sendiri, Ronaldo sekali lagi menjadi tajuk utama dalam beberapa situasi.

Pertama, dia dikritik kerana caranya memenangi penalti menentang Ghana dalam perlawanan pembukaan kumpulan, sebelum mendakwa menjaringkan gol ketika menentang Uruguay sekalipun terbukti tidak menyentuhnya.

Kemudian selepas diketepikan ketika menentang Switzerland dalam kelompok 16 terakhir dia dilihat berjalan keluar padang sendirian ketika rakan sepasukannya terus meraikan kejayaan mereka mara.

Manakala menentang Maghribi dia bertindak keluar padang pada wisel penamat dalam keadaan sedih dan menangis.

Ketika diletakkan sebagai pemain simpanan menentang Switzerland, Ronaldo gagal berada dalam senarai permulaan pasukan di pusingan kalah mati kejohanan utama buat pertama kali sejak Euro 2008.

Penyerang berusia 37 tahun itu bagaimanapun masih mampu mencipta rekod di Qatar, menjadi pemain lelaki pertama menjaringkan gol dalam lima Piala Dunia berturut-turut, begitu juga menyamai rekod Badr Al-Mutawa yang melakar 196 kap penampilan antarabangsa ketika menentang Maghribi.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 12 Disember 2022 @ 12:09 AM