ROBERTO (kanan) bersorak kegembiraan selepas Lewandowski (dua dari kiri) menjaringkan gol ketiga Barcelona. FOTO AFP
ROBERTO (kanan) bersorak kegembiraan selepas Lewandowski (dua dari kiri) menjaringkan gol ketiga Barcelona. FOTO AFP
AFP

Barcelona: Barcelona melepasi aksi separuh masa kedua yang mendebarkan untuk menang 3-1 ke atas Napoli, awal pagi ini, sekali gus layak ke suku akhir Liga Juara-Juara Eropah (UCL) dengan agregat 4-2.

Anak buah Xavi Hernandez bermula garang menerusi jaringan Fermin Lopez dan Joao Cancelo, tetapi selepas Amir Rrahmani merapatkan kedudukan, persembahan mereka mula goyang.

Juara Itali, Napoli yang seri 1-1 pada perlawanan pertama pusingan 16 terbaik itu akhirnya kecundang apabila Robert Lewandowski menjaringkan gol menerusi jarak dekat.

Ini adalah kali pertama bagi Barcelona yang juga juara lima kali Eropah mara ke suku akhir kejohanan sejak 2020 dan mereka melakukannya tanpa trio pemain tengah yang cedera iaitu Pedri, Gavi dan Frenkie de Jong.

"Ini adalah malam yang hebat dan menakjubkan, empat tahun kami tidak berada di tempat sepatutnya, di mana kami berhak mencapainya," kata kapten, Sergi Roberto kepada Movistar.

"Penyokong terus menyokong kami, mereka cukup penting."

Januari lalu, Xavi menyatakan dia akan meninggalkan pasukan pada hujung musim ini dan selepas pengumuman itu, pasukannya tidak kalah dalam sembilan perlawanan.

Dua pemain muda, Lamine Yamal dan Pau Cubarsi menjadi tonggak penting sepanjang tempoh itu dan berakhir cemerlang menentang Napoli, sekali gus memberikan kelegaan pada musim hambar dialami Barcelona.

Bek tengah, Cubarsi, 17, jelas begitu bertenaga dan tenang mengekang penyerang Napoli, Victor Osimhen.

"Dia menakjubkan dan pemain terbaik perlawanan ini," kata Sergi Roberto.

"Dia tidak berhenti mengejutkan kami, bermain dengan cemerlang di peringkat 16 terbaik, dia adalah pemain yang akan berada di sini sepanjang hidupnya."

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 13 Mac 2024 @ 6:49 AM