YAMAL berjaya memikat hati Xavi. FOTO AFP
YAMAL berjaya memikat hati Xavi. FOTO AFP
AFP

Barcelona: Barcelona menerima kunjungan Paris Saint-Germain (PSG) awal pagi Rabu ini dengan harapan bintang muda mereka dapat membantu mengembalikan semula maruah pemenang lima kali Liga Juara-Juara itu.

Kemenangan dramatik 3-2 untuk kelab Catalan itu pada aksi suku akhir pertama di Paris boleh dikatakan keputusan terbaik mereka di tempat lawan pada pertandingan itu sekali gus mencetuskan suasana meriah di Barcelona.

"Saya faham suasana euforia...lebih baik hidup dengan euforia daripada pesimisme," kata jurulatih Barca, Xavi Hernandez.

Skuad bimbingan Xavi yang meraih kemenangan di Parc des Princes menampilkan dua pemain termuda yang pernah beraksi dalam aksi suku akhir Liga Juara-Juara iaitu Lamine Yamal, 16 tahun dan Pau Cubarsi, 17.

Kedua-dua bintang muda itu memberi suntikan baharu kepada kelab berkenaan yang bukan sahaja bergelut musim ini tetapi sejak beberapa tahun lalu dengan kali terakhir mereka menang di Eropah pada 2015.

Kelab Catalan itu menjulang trofi di Berlin bersama jurulatih semasa PSG, Luis Enrique ketika mereka diperkuatkan dengan pemain seperti Lionel Messi, Neymar dan Luis Suarez.

Kini ia jauh berbeza dan tugasan itu perlu digalas oleh barisan muka baharu termasuk Yamal dan Cubarsi

"(Yamal) sangat tenang dan sangat matang walaupun usianya masih muda," kata Xavi pada bulan lalu.

Selepas Cubarsi menyinar untuk membantu Barcelona mara dari pusingan 16 terakhir ketika menentang Napoli, Xavi memberikan pujian yang sama.

"Dia mempunyai otak yang lengkap," kata jurulatih itu.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 15 April 2024 @ 10:27 AM