PENYERANG Bacelona, Lionel Messi (kiri) meraikan jaringan bersama rakan sepasukan ketika menewaskan Alaves 3-0. FOTO Reuters
PENYERANG Bacelona, Lionel Messi (kiri) meraikan jaringan bersama rakan sepasukan ketika menewaskan Alaves 3-0. FOTO Reuters
Reuters

 

BARCELONA: Juara La Liga Barcelona  memulakan kempen baru dengan kemenangan 3-0 ke atas Alaves awal pagi tadi dengan bantuan sepakan percuma menakjubkan daripada Lionel Messi yang turut meledak dua gol, serta jaringan pemain gantian Philippe Coutinho.

Barca mendominasi perlawanan di Camp Nou tetapi gagal memanfaatkkan peluang untuk mengatasi Alaves, yang menjadi pasukan terakhir mengecewakan mereka di Catalan, menang 2-1 pada 2016 dan hampir mengulangi keputusan sama musim lalu sebelum tewas 1-2.

Sepakan Messi terkena palang pada separuh masa pertama menerusi gerakan set-piece dan Ousmane Dembele memaksa penjaga gol lawan Pacheco bekerja keras untuk menyelamatkan bola sementara Luiz Suarez gagal mencetus sebarang impak.

Jurulatih Barca Ernesto Valverde membawa masuk Coutinho pada awal separuh masa kedua untuk menggantikan Nelson Semedo, mengubah posisi Sergi Roberto dari bahagian tengah ke pertahanan bagi memberikan lebih kreativiti terhadap pasukan demi merobek pertahanan Basque.

Barca kelihatan lebih berbahaya selepas itu namun ia masih memerlukan sentuhan bijak penjaring terbanyak sepanjang zaman yang juga kapten baru, Messi untuk memecah kebuntuan.

Pemain Argentina itu mengejutkan Alaves dengan merembat bola rendah di bawah tembok pertahanan dan melepasi Pacheco yang tergamam, mengulangi gaya jaringan sama ke atas Girona musim lalu.

Ia juga jaringan ke-6,000 Barca dalam kancah La Liga.

“Saya tidak tahu dia akan menjaringkan gol seperti itu, bagi saya ia sesuatu yang mengejutkan kerana dia mempunyai begitu banyak pilihan,” kata pemain tengah Barca Sergio Busquets.

“Adakalanya dalam perlawanan seperti ini anda perlu menunggu sehingga Leo melaksanakan tugasnya,” kata Roberto.

“Percubaan pertama terkena palang, yang kedua, gol ke-6,000.” – Reuters

 

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 19 Ogos 2018 @ 8:10 AM