Aizat Sharif


Kangar: Pengurusan Perlis United FC (PUFC) menafikan desas desus beberapa portal berita bahawa kelab itu mengambil keputusan untuk menarik diri daripada saingan Liga Super Malaysia musim ini.

Ketua Pegawai Eksekutif PUFC, Rozailmee Zulkeply dalam satu kenyataan menafikan sebarang bentuk kenyataan menyatakan bahawa kelab itu tidak jadi bertanding dalam saingan Liga Super musim ini.

"Kami di PUFC menafikan sebarang bentuk kenyataan sebegini (mendakwa PUFC tidak jadi sertai Liga Super).

"Kami juga ingin tegaskan bahawa kami tidak ada sebarang permusuhan bersama Menteri Besar Perlis," katanya dalam satu kenyataannya di laman Facebooknya hari ini.

Katanya, laporan itu dilihat hanya ingin mensensasikan portal berita itu sahaja.

"Jika benar sila umumkan siapa sumber dalaman yang dimaksudkan," katanya.

PUFC sebelum ini sudah memberi jaminan untuk sedia melaksanakan apa jua syarat tambahan yang diarahkan Malaysian Football League (MFL) dalam memastikan impian kelab berpangkalan di Kangar itu dapat mengisi slot ke-14 menyertai Liga Super 2024-2025.

Malah, presidennya Shukri Othman juga mengesahkan bahawa pihaknya sudah pun menerima secara rasmi surat keputusan permohonan kelabnya untuk menyertai kancah Liga Super musim ini.

Ini termasuklah antara syarat yang dimahukan oleh MFL iaitu melunaskan gaji pemain PUFC yang direkodkan tertunggak sebelum ini.

PUFC juga diarah memenuhi syarat tambahan untuk layak menerima lesen luar biasa (extraordinary license) untuk slot ke-14 Liga Super 2024-2025.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 14 Mac 2024 @ 6:05 PM