ROZAILMEE  (dua dari kiri) bersama pengurusan PUFC bergambar bersama  CEO MFL Stuart Ramalingam (dua dari kanan). FOTO FB Rozailmee Zulkeply
ROZAILMEE (dua dari kiri) bersama pengurusan PUFC bergambar bersama CEO MFL Stuart Ramalingam (dua dari kanan). FOTO FB Rozailmee Zulkeply
Aizat Sharif


Kangar: Perlis United FC (PUFC) sedia melaksanakan apa jua syarat tambahan diarahkan Malaysian Football League (MFL) dalam memastikan impian kelab berpangkalan di Kangar itu dapat mengisi slot ke-14 untuk menyertai Liga Super 2024-2025.

Presidennya, Shukri Othman mengesahkan pihaknya sudah pun menerima secara rasmi surat keputusan permohonan kelabnya untuk menyertai kancah Liga Super musim ini.

"Ya, kita sudah pun menerima surat berkenaan namun keputusan itu lebih menjurus kepada penetapan syarat tambahan untuk layak menerima lesen luar biasa bersyarat sebelum diterima bermain dalam Liga Super musim ini.

"Namun, apa pun kita kini bersedia menjalankan apa jua syarat atau permintaan diminta MFL dalam melayakkan kita bagi tujuan berkenaan dan antara syarat dimahukan MFL adalah melunaskan gaji pemain PUFC yang direkodkan tertunggak sebelum ini," katanya ketika dihubungi hari ini.

Katanya, pihaknya komited akan memastikan keperluan itu dipenuhi dan segala dokumentasi akan dihantar dalam masa terdekat.

Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif PUFC, Rozailmee Zulkeply dalam satu kenyataan di Facebooknya menyatakan bahawa pihaknya merakamkan ucapan terima kasih dan penghargaan kepada MFL kerana memberi peluang kepada PUFC untuk bersaing dalam Liga Super 2024.

MFL dalam satu kenyataan kepada media menyatakan Perlis United FC (PUFC) diarah memenuhi syarat tambahan untuk layak menerima lesen luar biasa (extraordinary license) yang bersyarat bagi mengisi slot ke-14 untuk menyertai Liga Super 2024-2025.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 7 Mac 2024 @ 2:16 PM