KETUA Pegawai Eksekutif MFL, Stuart  Ramalingam
KETUA Pegawai Eksekutif MFL, Stuart Ramalingam
Amirul Fazli Zulkafli


Kuala Lumpur: Hasrat untuk melihat pasukan Perlis United kembali ke Liga Super selepas 13 tahun mungkin sekadar 'angan-angan' apabila Liga Bolasepak Malaysia (MFL) menafikan pihak mereka menjemput pasukan berkenaan untuk saingan musim ini.

Sebaliknya, MFL perlu meneliti terlebih dahulu segala dokumen sama ada mereka layak atau sebaliknya.

Ketua Pegawai Eksekutif MFL, Datuk Stuart Ramalingam berkata, mereka tidak pernah menjemput mana-mana pasukan dan Perlis United sendiri memohon untuk melanjutkan tarikh tutup bagi menghantar dokumen lengkap ke pihak mereka.

Tambahnya, terdapat sekurang-kurangnya tiga pasukan lain yang menunjukkan minat untuk beraksi di liga utama bersama pasukan elit musim ini.

"Kami tidak menjemput mana-mana pasukan termasuk Perlis United. Mereka meminta lanjutan tarikh akhir untuk menyerahkan dokumen dan telah menghantar dokumen lengkap pada awal minggu ini.

"Segala dokumen untuk akan diperiksa oleh First Instance Body (FIB) untuk melihat secara teliti berdasarkan segala kriteria yang sudah ditetapkan.

"Setakat ini, terdapat tiga pasukan yang menghantar pada tarikh yang ditetapkan antaranya, Imigresen FC, KL Rovers dan Harini FT dan kesemua kelulusan itu akan ditentukan oleh FIB selain bergantung kepada dokumen yang dihantar," katanya kepada Arena Metro.

Ketika ini, hanya ada 13 pasukan sahaja yang akan beraksi di Liga Super musim ini selepas Kelantan FC disingkirkan dari liga berprestij itu apabila mereka gagal untuk melengkapkan segala dokumen yang ditetapkan.

Oleh itu, MFL membuka peluang sekali lagi kepada pasukan M3 untuk menghantar dokumen lengkap bagi membolehkan saingan liga berjalan dengan 14 pasukan.

Terdahulu Arena Metro melaporkan Perlis United FC (PUFC) dijangka akan membawa panji negeri Perlis bagi saingan Liga Super musim ini selepas dikatakan mendapat tawaran untuk mengisi slot negeri ke liga berprestij itu.

Difahamkan kelab bola sepak yang berpangkalan di Kangar itu mendapat jemputan daripada pengendali Liga Malaysia iaitu MFL untuk menyertai liga itu sebagai wakil dari negeri Perlis selain dikatakan mendapat tajaan yang lumayan daripada beberapa syarikat terkenal untuk saingan liga berkenaan.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 17 Februari 2024 @ 1:53 PM