MBAPPE perlu memakai topeng hitam sepanjang kempen Euro 2024. -FOTO AFP
MBAPPE perlu memakai topeng hitam sepanjang kempen Euro 2024. -FOTO AFP
Agensi

Dortmund: Kapten pasukan Perancis, Kylian Mbappe menjaringkan dua gol dalam perlawanan latihan pertamanya sejak mengalami kecederaan patah hidung pada perlawanan pembukaan Euro 2024.

Dia turut bermain dengan memakai topeng, sepanjang perlawanan, membabitkan masa 30 minit setiap babak menentang pasukan bawah-21 kelab Jerman, Paderborn.

Mbappe direhatkan di bangku simpanan ketika mereka melakar keputusan seri tanpa jaringan menentang Belanda semalam selepas mengalami kecederaan ketika menentang Austria pada Selasa lalu.

Semalam pemain berusia 25 tahun itu kembali bermain bersama rakan sepasukannya yang lain dalam perlawanan persahabatan tertutup itu turut membantu dua jaringan.

Mbappe beraksi dengan memakai topeng hitam, topeng yang perlu dipakai setiap kali dia bermain di Kejohanan Eropah kali ini.

Dia perlu membiasakan diri dengan topeng itu biarpun kelihatan sedikit terganggu dengannya pada mulanya tetapi dapat menyesuaikan diri dengan cepat.

Sementara itu jurulatih Perancis Didier Deschamps berkata, sesi perlawanan latihan itu juga bagus untuk kecergasan Mbappe apabila terpaksa berehat sejak Isnin lalu.

Malah Mbappe sedar dia tidak akan diturunkan pada perlawanan menentang Belanda biar apapun keputusannya.

"Ia adalah keputusan yang kami capai yang mana saya menganggap ia adalah keputusan yang wajar untuk mengekalkan Mbappe di bangku simpanan," katanya.

Walau bagaimanapun, masih terlalu awal untuk mengatakan bahawa Mbappe akan bermula menentang Poland Rabu ini biarpun ia adalah perlawanan penting untuk menamatkan saingan sebagai juara kumpulan.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 23 Jun 2024 @ 10:18 AM