REAKSI Klinsmann (kanan) pada perlawanna hari ini. FOTO REUTERS
REAKSI Klinsmann (kanan) pada perlawanna hari ini. FOTO REUTERS
Firdaus Hashim melaporkan dari Doha dan Qatar


Doha: Jurgen Klinsmann akui beliau agak marah dengan beberapa keputusan pengadil hingga menyebabkan Korea Selatan hampir diaibkan Malaysia apabila kedua-dua pasukan terikat 3-3 dalam aksi terakhir Kumpulan E Piala Asia, di sini hari ini.

Jelas pengendali Korea Selatan yang juga legenda Jerman itu, beliau tidak bersetuju dengan keputusan pengadil terutama sepakan penalti kepada Malaysia yang membolehkan lawan meraih gol kedua.

"Dapat disaksikan permainan yang sangat menarik, enam gol dan satu gol pada minit terakhir dari Malaysia.

"Jelas sekali saya agak marah bagaimana gol itu berlaku (gol pertama dan kedua Malaysia). Saya rasa ia bukan penalti untuk Malaysia, tiada penalti.

"Malah satu lagi gol juga tidak sepatutnya diberikan, namun ia sudah diberikan," katanya pada sidang media selepas aksi yang berlangsung di Stadium Al Janoub itu.

Kejayaan Malaysia mengikat pasukan Piala Dunia itu menyaksikan Harimau Malaya meraih mata pertama selepas tumbang di tangan Jordan dan Bahrain sebelum ini.

Dalam aksi itu, Korea Selatan terlebih dulu mendahului menerusi tandukan Jeong Woo-yeong pada minit 22 sebelum anak buah Kim Pan-gon bangkit di babak kedua.

Kebangkitan kem negara bermula menerusi jaringan cantik Faisal Halim di minit 51 sebelum enam minit kemudian pengadil menghadiahkan sepakan penalti dan Arif Aiman Hanapi tenang meletakkan bola di dalam jaring untuk mendahului lawan.

Skuad negara cuba mempertahankan kelebihan itu namun kualiti dimiliki Korea Selatan nyata sukar dikekang apabila lawan bangkit dalam tempoh 10 minit terakhir dengan dua gol hasil sepakan percuma Lee Kang-in dan sepakan penalti Son Heung-min.

Ketika perlawanan menuju penghujung, penyerang naturalisasi baharu negara, Romel Morales muncul penyelamat dengan meledak gol penyamaan pada masa kecederaan untuk mengecewakan Korea Selatan.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 25 January 2024 @ 10:24 PM