HEUNG-min akui Malaysia berjuang habis-habisan sehingga minit terakhir permainan. FOTO Bernama
HEUNG-min akui Malaysia berjuang habis-habisan sehingga minit terakhir permainan. FOTO Bernama
Firdaus Hashim


Doha: Bintang bola sepak Korea Selatan, Son Heung-min memuji persembahan skuad Harimau Malaya dan menegaskan keputusan seri 3-3 adalah adil buat kedua-dua pasukan.

Heung-min yang beraksi di Liga Perdana Inggeris (EPL) bersama Tottenham Hotspur terpaksa akur dengan semangat kental pemain Malaysia yang tidak berputus asa sepanjang perlawanan.

Biarpun dia agak kecewa dengan keputusan perlawanan yang tidak memihak Korea, pemain terbaik Asia sebanyak sembilan kali itu tetap lega meloloskan diri ke pusingan 16 terbaik saingan Piala Asia ketika ini.

"Ia memang keputusan yang sukar untuk kami, tapi kredit untuk pasukan lawan kerana mereka berjuang habis-habisan sehingga ke minit terakhir permainan.

"Memang kami kecewa dengan permainan kami hari ini tapi apa yang penting kita perlu fokus dan bersiap sedia untuk pusingan 16 nanti," katanya.

Ditanya mengenai keputusan pengadil babitkan dua sepakan penalti hingga terpaksa menggunakan sistem video bantuan pengadil (VAR), Heung-min percaya sudah menjalankan tugas dengan sebaiknya.

"Kita boleh bercakap satu hari mengenai keputusan VAR, tapi kita perlu hormat keputusan pengadil kerana mereka dibantu oleh monitor untuk melihat semula insiden yang berlaku," katanya.

Korea Selatan yang memburu jaringan besar ke atas Malaysia mendahului terlebih dulu menerusi tandukan Jeong Woo-yeong di minit 22 sebelum ia disamakan Faisal Halim pada minit 51.

Terjahan pertahanan Korea ke atas Arif Aiman Hanapi di minit 57 menyaksikan pengadil merujuk VAR dan sepakan penalti berjaya diraih dengan Arif Aiman menyempurnakan sepakannya.

Menuju 10 minit terakhir, lawan yang menghuni tangga ke-23 ranking Fifa bangkit dengan dua gol hasil sepakan percuma cantik, Lee Kang-in (m-83) sebelum sekali lagi VAR digunakan untuk memberi sepakan penalti dengan Heung-min (m-94) mudah menewaskan Syihan Hazmi.

Begitupun, anak didik Kim Pan-gon mengikat kembali kedudukan di waktu kecederaan yang disudahkan Romel Morales, sekali gus menghadiahkan mata pertama buat kem negara pada kempen kali ini.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 26 January 2024 @ 10:54 AM