HANNAH (kiri) turun padang bersama penyokong menonton siaran langsung perlawanan akhir antara Malaysia menentang Korea Selatan peringkat Kumpulan E Piala Asia 2023 di Dataran Putrajaya hari ini. FOTO BERNAMA
HANNAH (kiri) turun padang bersama penyokong menonton siaran langsung perlawanan akhir antara Malaysia menentang Korea Selatan peringkat Kumpulan E Piala Asia 2023 di Dataran Putrajaya hari ini. FOTO BERNAMA
Saiful Affendy Sapran


Kuala Lumpur: Menteri Belia dan Sukan, Hannah Yeoh memuji persembahan skuad Harimau Malaya yang hampir mengaibkan gergasi Asia, Korea Selatan sebelum seri 3-3 dalam aksi terakhir Kumpulan E Piala Asia 2023 di Stadium Al Janoub, hari ini.

Jelas Hannah, keputusan seri yang diraih skuad bimbingan Kim Pan-gon itu memberikan hadiah terbesar kepada penyokong Harimau Malaya.

"Harimau Malaya memahat nama di pentas Asia. Kita mempunyai banyak lagi tugas di hadapan. Esok tugas bermula semula.

"Malaysia akan kembali ke Piala Asia akan datang! Keputusan seri menentang Korea ini adalah hadiah terbesar kepada penyokong Harimau Malaya di Qatar dan seluruh Malaysia.

"Apabila kita meletakkan hati dan jiwa kita ke dalam semua yang kita lakukan, dunia akan melihatnya," katanya menerusi hantaran di akaun media sosial miliknya.

Pada perlawanan hari ini, Korea depan pada minit 22 hasil tandukan Jeong Woo-yeong yang memanfaatkan sepakan sudut biarpun Syihan berjaya mengeluarkan bola namun hasil semakan video bantuan pengadil (VAR) bola itu sudahpun melepasi garisan gol.

Skuad negara bagaimana pun tampil lebih bertenaga di babak kedua dan kebangkitan diidamkan berhasil menerusi jaringan cantik Faisal Halim di minit 51.

Enam minit kemudian Malaysia dihadiahkan sepakan penalti selepas Arif Aiman Hanapi dijatuhkan dan pemain Johor Darul Ta'zim (JDT) itu tenang menewaskan penjaga gol, Jo Hyeon-woo.

Korea bangkit selepas itu menerusi dua gol hasil sepakan percuma Lee Kang-in dan sepakan penalti Heung-min.

Ketika skuad negara dilihat akan berputih mata sekali lagi, penyerang naturalisasi baharu negara, Romel Morales muncul penyelamat dengan meledak gol penyamaan pada masa kecederaan untuk mengaibkan lawan.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 25 January 2024 @ 11:31 PM