FAISAL tampil sebagai watak penting kebangkitan dramatik. FOTO HAIRUL ANUAR RAHIM
FAISAL tampil sebagai watak penting kebangkitan dramatik. FOTO HAIRUL ANUAR RAHIM
Firdaus Hashim


Doha: Pemain sayap negara, Faisal Halim akui gol cantik yang dijaringkannya hingga mengelirukan penjaga gol Korea Selatan, Jo Hyeon-woo pernah dilakukannya ketika mewakili pasukan belia Pulau Pinang pada 2015 lalu.

Faisal, 26, mencipta sensasi di pentas Piala Asia apabila meledak gol pertama ke atas gergasi Asia, Korea Selatan yang menyaksikan Harimau Malaya mengikat pasukan Piala Dunia itu dengan 3-3.

Jelas pemain kelahiran Mengkuang Titi, Pulau Pinang itu, jaringan berkenaan cukup istimewa menerusi teknik yang mengelirukan hingga gagal di halang pertahanan mahupun Hyeon-woo di depan pintu gol.

"Saya pun tak jangka gol itu berlaku, itu semua rezeki daripada Allah. Kita bekerja keras dan lakukan apa yang kita mampu.

"Kalau kita lihat gol itu, saya teringat waktu saya main belia Pulau Pinang. Saya rasa ada satu gol yang hampir sama, hampir sama macam itu.

"Waktu itu saya lawan Perak kalau tak silap saya," katanya ketika ditemui di Stadium Al Janoub selepas perlawanan terakhir Kumpulan E Piala Asia, di sini.

Faisal yang lebih mesra dipanggil 'Mickey' tampil sebagai watak penting kebangkitan dramatik apabila jaringannya pada minit ke-51 memadam kelebihan Korea yang mendahului di babak pertama menerusi tandukan Jeong Woo-yeong di minit 22.

Arif Aiman Hanapi memberi kelebihan Malaysia tujuh minit selepas gol Faisal menerusi sepakan penalti sebelum lawan yang menghuni ranking 23 dunia bangkit dua gol hasil sepakan percuma Lee Kang-in (m-83) dan sepakan penalti Son Heung-min (m-94).

Begitupun anak didik Kim Pan-gon mengikat kembali kedudukan di minit 105 yang disudahkan Romel Morales sekali gus menghadiahkan mata pertama buat kem negara pada kempen kali ini.

"Pada malam ini pemain-pemain semua kerja lari lintang pukang. Memang habislah kalau kata minyak isi RM100, memang kena top-up.

"Dalam padang sukar lawan dengan pasukan Korea. Kita pergi tutup sini, dia main kat sana. Kita tutup sana, dia main kat sini.

"Nak kata keletihan itu orang tak rasa, yang dalam padang ini rasa macam mana sukarnya, macam mana payahnya kita nak atasi pemain-pemain Korea itu," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 26 January 2024 @ 8:24 AM