Firdaus Hashim melaporkan dari Doha dan Qatar


Doha: Skuad Harimau Malaya mencipta sensasi di bumi Qatar apabila mengikat gergasi bola sepak Asia, Korea Selatan menerusi keputusan 3-3 dalam aksi terakhir Kumpulan E Piala Asia 2023 di Stadium Al Janoub, di sini, hari ini.

Malaysia yang tumbang dalam dua aksi awal sebelum ini tampil lebih bertenaga sepanjang 90 minit permainan di mana pada satu ketika anak buah Kim Pan-gon berjaya mendahului dengan 2-1.

Reputasi skuad Taegeuk Warriors selaku pasukan Piala Dunia serta berada di kedudukan ranking ke-23 dunia tidak mengentarkan pemain negara yang tetap berjuang hingga wisel penamat sebelum Romel Morales muncul penyelamat dengan gol ketiga di masa kecederaan.

Kejayaan mengikat skuad bimbingan legenda Jerman, Jurgen Klinsmann itu menyaksikan Harimau Malaya meraih mata pertama selepas tumbang di tangan Jordan dan Bahrain sebelum ini.

Malaysia yang sudah tersingkir daripada persaingan membuat dua pertukaran dalam kesebelasan utama dengan mempertaruhkan Brendan Gan dan Daniel Ting, dengan selebihnya masih dikekalkan.

ARIF Aiman meraikan jaringan kedua menerusi sepakan penalti ketika bertemu Korea Selatan ketika aksi terakhir Kumpulan E sempena Piala Asia 2023 Qatar di Stadium Al Janoub, Doha. FOTO HAIRUL ANUAR RAHIM
ARIF Aiman meraikan jaringan kedua menerusi sepakan penalti ketika bertemu Korea Selatan ketika aksi terakhir Kumpulan E sempena Piala Asia 2023 Qatar di Stadium Al Janoub, Doha. FOTO HAIRUL ANUAR RAHIM

Lawan yang diperkuatkan kehadiran bintang Liga Perdana Inggeris (EPL) bersama Tottenham Hotspur, Son Heung-min hampir meraih gol pada minit ke-14 namun rembatan padu kaki kirinya ditepis Syihan Hazmi.

Gawang negara bocor pada minit 22 hasil tandukan Jeong Woo-yeong yang memanfaatkan sepakan sudut biarpun Syihan berjaya mengeluarkan bola namun hasil semakan video bantuan pengadil (VAR) bola itu sudahpun melepasi garisan gol.

Ketinggalan satu gol tidak mematahkan semangat pemain negara apabila tampil lebih bertenaga di babak kedua dan kebangkitan diidamkan berhasil menerusi jaringan cantik Faisal Halim di minit 51.

Enam minit kemudian Malaysia dihadiahkan sepakan penalti selepas Arif Aiman Hanapi dijatuhkan dan pemain Johor Darul Ta'zim (JDT) itu tenang menewaskan penjaga gol, Jo Hyeon-woo.

Skuad negara cuba mempertahankan kelebihan itu namun kualiti dimiliki Korea Selatan nyata sukar dikekang apabila lawan bangkit dalam tempoh 10 minit terakhir dengan dua gol hasil sepakan percuma Lee Kang-in dan sepakan penalti Heung-min.

Ketika perlawanan menuju penghujung, penyerang naturalisasi baharu negara Romel Morales muncul penyelamat dengan meledak gol penyamaan pada masa kecederaan untuk mengaibkan lawan.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 25 January 2024 @ 9:46 PM
FAISAL Halim meraikan jaringannya ketika bertemu Korea Selatan ketika aksi terakhir Kumpulan E sempena Piala Asia 2023 Qatar di Stadium Al Janoub, Doha. FOTO HAIRUL ANUAR RAHIM
FAISAL Halim meraikan jaringannya ketika bertemu Korea Selatan ketika aksi terakhir Kumpulan E sempena Piala Asia 2023 Qatar di Stadium Al Janoub, Doha. FOTO HAIRUL ANUAR RAHIM