MAHADIR Harahap (dua dari kiri) ketika mengikuti sesi latihan bersama Pahang Rangers FC baru-baru ini. FOTO MOHD RAFI MAMAT
MAHADIR Harahap (dua dari kiri) ketika mengikuti sesi latihan bersama Pahang Rangers FC baru-baru ini. FOTO MOHD RAFI MAMAT
Mohd Rafi Mamat

Kuantan: Pasukan Pahang Rangers FC sudah hampir pasti kehilangan dua tonggak utama mereka musim lalu, Mahadir Harahap Khairuddin dan Muhamad Ridzwan Bakri akan bersama pasukan baharu musim ini.

Dua pemain kebangsaan itu dikatakan akan melapor diri dengan pasukan baharunya dalam masa terdekat selepas penghijrahan berkenaan berlaku secara kotor kerana masing-masing masih berbaki kontrak.

Pemain kelahiran Kuantan, Mahadir Harahap masih berbaki tiga tahun kontrak dengan Pahang Rangers FC sementara Muhamad Ridzwan setahun.

Lebih menyakitkan hati apabila Mahadir Harahap yang menghilangkan diri beberapa minggu sebelum ini, tiba-tiba muncul mengikuti latihan bersama Tok Gajah lebih dua minggu lalu.

Kehadiranya seolah cuba mengaburi mata peminat dan rakan sepasukan yang dia tidak akan berhijrah.

Dia juga turut sama mengikuti rombongan Pahang Rangers FC mengadakan seri dua perlawanan persahabatan di Singapura, namun tidak di turunkan oleh jurulatih Gerard Casas.

Difahamkan rata-rata pemain dan pengurusan Pahang Rangers FC sudah mengetahui jalan cerita sebenar lakonan pemain berkenaan yang penghujung ceritanya tetap akan meninggalkan pasukan tanpa rasa bersalah.

Bagi Muhamad Ridzwan dia tidak terus muncul mengikuti sesi latihan sambil menyediakan pelbagai alasan, bagi menempis dakwaan dia akan berhijrah beraksi dalam satu pasukan dengan Mahadir Harahap musim ini.

Pemindahan dua pemain berkenaan ke pasukan baharu musim ini difahamkan berlaku secara

tebus kontrak, namun tidak diketahui kaedah yang digunakan.

Pahang Rangers FC yang menatang seperti minyak yang penuh dua pemain terbabit pastinya kecewa dengan keputusan drastik mereka mengangkat kaki secara tidak manis.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 25 January 2024 @ 5:19 PM