GONZALEZ (kanan)  melakukan percubaan ke gawang  ATM.
GONZALEZ (kanan) melakukan percubaan ke gawang ATM.
Mohd Rafi Mamat


Kuantan: Pahang Rangers FC mencatat kemenangan bergaya menewaskan Angkatan Tentera Malaysia (ATM) 6-1 pada saingan Liga Futsal Perdana Kebangsaan (MPFL) 2023 di Kompleks Sukan Negara (KSN) Panasonic, Shah Alam, hari ini.

Membawa misi mencatat kemenangan keempat berturut-turut, anak buah jurulatih Gerard Casas tidak menunggu lama mendahului tuan rumah menerusi penyerang import, Matheus Gonzalez pada minit kedua permainan.

Dua minit kemudian kelekaan benteng pertahanan ATM dihukum menerusi gol kedua oleh Akmarulnizam Idris dan pada minit ke 13, Harith Naim mencatat nama sebagai penjaring.

Pasukan Pahang Rangers terus menemui rentak kemenangan menerusi gol sumbangan Mahadir Harahap pada minit ke 17, Muhamad Ridzwan Bakri (m-29) dan Farhan Khairul Anuar (m-34) manakala gol tunggal ATM dijaringkan oleh Shamsuri Saleh pada minit ke-38.

Pahang Rangers kini gah mengungguli kumpulan A MPFL 2023 dengan memungut 12 mata selepas mencatat empat kemenangan meninggalkan Pulau Pinang, Terengganu, Kedah, Sabah, KPT-PST Mustangs dan ATM.

Gerard berkata, dia berpuas hati kejayaan keempat berturut-turut Pahang Rangers musim ini hasil kesungguhan barisan pemain yang tampil dengan impian menjulang kejuaraan kali pertama selepas hanya mampu muncul naib johan musim lalu.

Katanya, kebangkitan pemain import, Gonzalez yang menyumbang tiga gol dalam tiga perlawanan membuktikan dia mula mendapat rentak diinginkan pasukan.

"Bermula sahaja perlawanan pemain melancarkan serangan dan hasilnya gol pertama muncul selepas dua minit permainan bermula, seolah lawan belum bersedia memberi tentangan.

"Babak pertama kita berada di hadapan dengan 4-0, dua gol lagi hadir pada babak kedua. Sedikit kelekaan lawan mendapat satu gol di penghujung perlawanan," katanya, di sini hari ini.

Bagi Muhamad Ridzwan, selepas kembali pulih daripada kecederaan dia berpeluang menyumbang satu gol pada perlawanan hari ini.

"Saya berharap terus dapat menyumbang jaringan untuk Pahang Rangers pada perlawanan seterusnya selepas ini dalam memastikan langkah ke perlawanan akhir musim ini menjadi kenyataan.

"Hanya kerja keras semua pemain sahaja dapat membuka laluan yang lebih lancar dalam misi merangkul kejuaraan pertama musim ini," katanya muncul penjaring terbanyak Pahang Rangers musim lalu.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 12 Mac 2023 @ 5:56 PM