SALAH (kiri) cuba melepasi pemain pertahanan Ghana, Gideon Mensah pada perlawanan yang berkesudahan seri 2-2, awal pagi hari ini. FOTO AFP
SALAH (kiri) cuba melepasi pemain pertahanan Ghana, Gideon Mensah pada perlawanan yang berkesudahan seri 2-2, awal pagi hari ini. FOTO AFP
AFP

Abidjan: Mesir bangkit dua kali daripada ketinggalan untuk seri 2-2 dengan Ghana pada kempen Piala Negara-Negara Afrika (AFCON), awal pagi tadi, selepas kehilangan kapten, Mohamed Salah akibat kecederaan pada babak pertama.

Mohammed Kudus menjaringkan kedua-dua gol Ghana termasuk rembatan dari jarak 20 meter selepas Salah dikeluarkan pada perlawanan Kumpulan B di Stadium Felix Houphouet Boigny.

Omar Marmoush menyamakan kedudukan buat Mesir pada pertengahan babak kedua, namun Kudus meledak lagi untuk membolehkan Ghana mendahului 2-1.

Bagaimanapun, The Black Stars melakukan kesilapan sekali lagi dan Mostafa Mohamed menyamakan kedudukan pada minit ke-74, sekali gus menyaksikan Ghana hanya mengumpul satu mata selepas dua perlawanan.

Mesir pula memiliki dua mata selepas dua kali seri, tetapi kebimbangan utama mereka mengenai kecederaan Salah - yang menjaringkan gol sepakan penalti pada masa tambahan yang membolehkan mereka seri 2-2 dengan Mozambique.

"Kami belum pasti dengan masalah dihadapinya. Saya harap tiada masalah besar, masih terlalu awal untuk mengulas mengenainya," kata jurulatih Mesir, Rui Vitoria.

"Tiada pasukan menang gelaran tanpa melalui perlawanan sukar, hari ini terutama pada babak kedua, kami membuktikan keinginan dan kualiti dalam pasukan ini.

"Pemain yang memiliki hubungan erat berbincang sesama sendiri ketika rehat dan menunjukkan watak sebenar pada babak kedua walaupun dibolosi dan ketinggalan.

"Perlawanan menentang Ghana cukup memenatkan, kami perlu berehat dan mempunyai tiga hari untuk bersiap bagi perlawanan berikutnya.

"Tiada perlawanan mudah. Kami lihat bagaimana Cape Verde menewaskan Ghana. Kami perlu fokus untuk perlawanan berikutnya," katanya.

Ghana kini hanya menang sekali daripada 11 perlawanan 11 termasuk tewas mengejut 1-2 pada aksi pembukaan menentang Cape Verde, negara paling kecil dalam kejohanan dan mampu mengesahkan kemaraan ke pusingan 16 terbaik sebagai juara kumpulan jika menang ke atas Mozambique pada aksi terakhir.

"Sudah tentu sangat mengecewakan kerana saya rasa kami berhak menang perlawanan ini." kata bos Ghana, Chris Hughton.

Dia membuat tiga rombakan terhadap skuad Ghana termasuk memanggil Kudus dan penyerang kelahiran Sepanyol, Inaki Williams, selepas menyedari kekalahan akan menyebabkan mereka tersingkir di peringkat kumpulan buat kali kedua berturut-turut.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 19 January 2024 @ 7:46 AM