PAULO Josue. -FOTO NSTP
PAULO Josue. -FOTO NSTP
Oleh Firdaus Hashim


Kuala Lumpur: Kemenangan mengejutkan 2 -1 Jordan ke atas juara bertahan Piala Asia yang juga tuan rumah edisi ke-18 iaitu Qatar pada aksi persahabatan semalam seolah memberi amaran betapa ujian getir bakal dilalui skuad Harimau Malaya pada 15 Januari ini.

Ini kerana anak buah Kim Pan-gon yang diletakkan dalam Kumpulan E akan membuka kempen Piala Asia dengan menentang Jordan sekali gus membayangkan misi sukar untuk mengutip sekurang-kurangnya satu mata pada aksi sulung itu.

Begitupun, ia langsung tidak melemahkan semangat pemain negara terutamanya tonggak naturalisasi, Paulo Josue yang tetap menyimpan keyakinan betapa Malaysia mampu melakar kejutan.

Katanya, dia enggan terlalu memikirkan tentang keputusan positif yang diraih lawan itu sebaliknya mahu memberi tumpuan kepada persiapan pasukan.

Malah jelasnya, rakan sepasukannya juga menghormati Jordan yang menduduki ranking lebih baik daripada skuad negara di mana skuad The Chivalrous Ones itu di berada di tangga 87 dunia berbanding Harimau Malaya di kedudukan 130.

"Jadi kita hanya perlu fokus dan melakukan tugas kita. Jika pihak lawan tidak melakukan yang terbaik, kami pasti kami akan mengejutkan mereka.

"Anda boleh lihat, sudah tentu kami mahu memenangi permainan. Kami di sini untuk bekerja dan cuba memenangi permainan.

"Tetapi seperti yang saya katakan, mereka adalah pasukan yang sangat sukar. Kedudukan mereka sangat tinggi jika anda bandingkan dengan diri kami sendiri," kata pemain Kuala Lumpur City FC itu.

Malaysia yang kembali layak beraksi secara merit ke Piala Asia selepas 43 tahun turut akan berdepan Bahrain dan bekas juara dua kali, Korea Selatan dalam Kumpulan E itu.

Menurut Josue, dia menyasarkan untuk meraih mata apabila pasukan negara berdepan Jordan dan Bahrain bagi membuka peluang untuk mara ke pusingan 16 terbaik.

"Sudah tentu jika anda tidak tewas pada perlawanan pertama ini dan kami berjaya mengutip beberapa mata menentang Bahrain, saya rasa kami mempunyai peluang untuk layak.

"Akan ada peluang untuk kita layak. Itu adalah kedudukan ketiga terbaik untuk pusingan seterusnya. Anda juga perlu memikirkannya, mungkin tiga mata, layak, mungkin empat mata, layak.

"Jadi kita perlu memikirkan berapa banyak mata yang perlu anda ambil untuk ke pusingan seterusnya," katanya yang sudah merekodkan empat gol dalam enam penampilan bersama Malaysia.

Berdasarkan format pertandingan, juara dan naib juara daripada enam kumpulan serta empat pasukan terbaik di tangga ketiga akan layak ke pusingan kalah mati.

Situasi itu sekali gus membuka peluang buat skuad kendalian Pan-gon mengintai kedudukan di tangga ketiga untuk melepasi peringkat kumpulan buat pertama kalinya daripada tiga penampilan Piala Asia sebelum ini.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 8 January 2024 @ 1:47 PM