ANTARA aksi Harimau Malaya bertemu Syria pada perlawanan persahabatan awal pagi tadi. FOTO IHSAN FAM
ANTARA aksi Harimau Malaya bertemu Syria pada perlawanan persahabatan awal pagi tadi. FOTO IHSAN FAM
Firdaus Hashim


Kuala Lumpur: Tonggak pertahanan negara, Syahmi Safari berpandangan jurang antara skuad Harimau Malaya dan pasukan Asia Barat tidak terlalu jauh.

Malah katanya, dia yakin kejutan boleh berlaku dalam dua aksi Kumpulan E kempen Piala Asia di Qatar terutama apabila skuad negara turut berdepan Jordan dan Bahrain nanti.

"Kelebihan fizikal berpihak kepada negara Arab, namun dalam aksi kelayakan yang lalu kita telah buktikan kita mampu bersaing dan jurang tidak terlalu besar.

"Yang penting adalah semangat dan komitmen para pemain untuk bekerjasama dan berikan yang terbaik," kata pemain Johor Darul Ta'zim itu.

Saingan Piala Asia bakal membuka tirainya pada Jumaat ini babitkan aksi pembukaan antara tuan rumah yang juga juara bertahan, Qatar menentang Lubnan.

Manakala aksi skuad kendalian Kim Pan-gon hanya akan dapat disaksikan pada awal pagi Selasa depan dengan bertemu Jordan dalam aksi pertama Kumpulan E di Stadium Al Janoub.

Selepas itu, skuad negara akan meneruskan kempen berdepan Bahrain dan Korea Selatan masing-masing pada 20 dan 25 Januari, sebelum cuba mengintai peluang mara ke peringkat 16 terbaik.

Berdasarkan format pertandingan, juara dan naib juara daripada enam kumpulan serta empat pasukan terbaik di tangga ketiga akan layak ke pusingan kalah mati.

Situasi itu sekali gus membuka peluang buat pasukan mengintai kedudukan di tangga ketiga kumpulan sekali gus mara ke pusingan berikutnya buat pertama kali sejak tiga penampilan lalu 1976, 1980 dan 2007.

"Dua perlawanan awal sangat penting untuk kita dapatkan mata semaksima mungkin namun kita perlu realistik.

"Malaysia dan pasukan Arab miliki jurang yang tidak terlalu besar tetapi itu bergantung kepada pemain untuk merealisasikannya di atas padang," kata Syahmi.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 9 January 2024 @ 3:23 PM