AKSI pemain Terengganu (kanan) dan Pahang pada perlawanan akhir Piala Emas Raja-Raja di Stadium Darul Maklmur, semalam. FOTO MOHD RAFI MAMAT
AKSI pemain Terengganu (kanan) dan Pahang pada perlawanan akhir Piala Emas Raja-Raja di Stadium Darul Maklmur, semalam. FOTO MOHD RAFI MAMAT
Mohd Rafi Mamat


Kuantan: Pemain Terengganu memberi persembahan yang terbaik cuma kejayaan tidak dapat dilakar apabila tewas 1-4 pada Pahang pada perlawanan akhir Piala Emas Raja-Raja (PERR) di Stadium Darul Makmur, semalam.

Jurulatih skuad PERR Terengganu, Adremy Indera Wan Adnan berkata 20 minit pertama permainan pemain Terengganu mengawal perlawanan hingga memaksa tuan rumah bertahan dengan asakan jentera serangan yang dianggap berkesan.

Namun katanya, usaha menjaringkan gol tidak dapat dilakukan oleh barisan penyerang yang terlepas beberapa peluang, gol yang diharapkan hanya muncul pada minit ke-38 menerusi sepakan penalti Muhammad Adli Abd Rahman.

"Saya dapat lihat jentera serangan Terengganu pada perlawanan semalam agak kurang menyengat berbanding perlawanan sebelum ini, peluang yang terhidang gagal diterjemahkan dengan jaringan.

"Walaupun mendapat banyak peluang pada babak kedua, usaha menjaringkan gol tidak berhasil malah pasukan lawan bijak mengambil kesempatan dengan menjaringkan dua gol," katanya, ditemui selepas aksi final itu semalam.

Beliau menambah, kelekaan benteng pertahanan Terengganu juga dapat dilihat apabila tuan rumah mudah memasuki kawasan petak penalti sambil melakukan percubaan, Pahang walaupun tidak banyak melakukan serangan namun setiap kali asakan dilakukan begitu merbahaya hingga menyumbang gol.

Adremy Indera berkata, dia tidak menyalahkan pemain selepas episod tewas 1-4 pada Pahang semalam, pemain memberi persembahan yang terbaik untuk mencatat kemenangan diimpikan, hanya nasib tidak berpihak pada skuad Penyu.

"Kejayaan melangkah kepentas akhir PERR musim ini begitu bermakna buat saya apabila berjaya membentuk pasukan terdiri pemain muda tempatan berumur antara 16 hingga 25 tahun, masa depan mereka dalam sukan bola sepak peringkat negeri dan kebangsaan begitu cerah.

"Pemain yang ada turut berpeluang membawa cabaran Terengganu kepentas saingan Sukan Malaysia (Sukma) 2024 di Sarawak," katanya yang mengucapkan tahniah atas kejayaan Pahang menjulang piala PERR.

Sementara itu, Ketua pasukan PERR Terengganu, Muhammad Syafiq Ikhwan Mokhtar berkata dia telah memberi persembahan terbaik sepanjang 90 minit permainan, rezeki kemenangan tidak berpihak pada skuad Penyu.

"Saya memohon maaf pada peminat bola sepak Terengganu yang menaruh harapan kemenangan dapat dicatat semalam, pemain berusaha dan mengikut setiap arahan jurulatih hanya kejayaan gagal dicatat.

"Tuan rumah mengambil kesempatan setiap peluang terhidang, buktinya mereka dapat menjaringkan empat gol," katanya yang beraksi di bahagian pertahanan.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 11 Disember 2023 @ 3:08 PM