JURULATIH Pahang, Yazeed (kanan) berpuas hati dengan prestasi dipamerkan pemain Tok Gajah yang berjaya menjulang kejuaraan Piala Emas Raja-Raja musim ini. FOTO MOHD RAFI MAMAT
JURULATIH Pahang, Yazeed (kanan) berpuas hati dengan prestasi dipamerkan pemain Tok Gajah yang berjaya menjulang kejuaraan Piala Emas Raja-Raja musim ini. FOTO MOHD RAFI MAMAT
Mohd Rafi Mamat


Kuantan: Menerapkan corak permainan bola sepak dan futsal begitu berkesan buat skuad Pahang yang menewaskan Terengganu 4-1 pada perlawanan akhir Piala Emas Raja-Raja (PERR) di Stadium Darul Makmur, semalam.

Jurulatih PERR Pahang, Mohd Yazeed Hamzah berkata percubaan menggabungkan bola sepak dan futsal yang dilakukan ternyata berkesan dan hasilnya apabila kemenangan ke atas pelawat dapat dilakar dengan bergaya.

Menurutnya, pengalaman sebagai jurulatih pasukan futsal Kuantan Rangers dan beberapa pasukan bola sepak tempatan sebelum ini digunakan sepenuhnya untuk beliau membentuk corak permainan pasukan PERR Pahang musim ini.

Katanya, sepanjang 90 minit permainan semalam pemain Pahang berjaya mempamerkan corak permainan yang menarik walaupun pada awal perlawanan dilihat tertekan apabila pelawat begitu rancak mengatur serangan bertali arus dalam masa kira-kira 20 minit.

"Saya agak cemas melihat aksi pemain Terengganu yang mengatur gerakan sebaik perlawanan bermula, benteng pertahanan Pahang yang kemas dapat menangkis setiap ancaman.

"Menerusi dua kali serangan balas dilakukan pada awal babak pertama, kita berjaya mendahului pelawat 2-0, jaringan berkenaan seolah menjadi menyuntik semangat pada pemain untuk terus mempamerkan permainan yang terbaik sehingga tamat permainan," katanya, ditemui selepas perlawanan berkenaan semalam.

Beliau berkata, secara keseluruhan dia amat berpuas hati dengan kejayaan yang dicapai pasukan Pahang semalam, pemain menjalankan tugas dengan berkesan walaupun mendapat asakan pemain lawan.

Mohd Yazeed menambah, pujian perlu diberikan pada penyerang, Muhammad Fitri Aziq Wahid yang menyumbang dua gol pada minit ke-27 dan 72 yang dapat menutup terus peluang lawan mencatat kemenangan diharapkan.

"Penjaga gawang Tok Gajah, Muhammad Hanif Faizal juga tidak kurang menarik beraksi sepanjang perlawanan apabila beberapa kali menafikan percubaan penyerang pelawat," katanya yang akan menjalankan tugas membimbing skuad bola sepak Pahang pada Sukan Malaysia (Sukma) Sarawak tahun depan.

Tambahnya lagi, diharapkan beberapa pemain PERR Pahang berjaya terpilih untuk mewakili Tok Gajah pada saingan Liga Malaysia (Liga M) musim depan sebagai pendedahan usaha menimba pengalaman.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 11 Disember 2023 @ 3:44 PM