SKUAD Harimau Malaya berlepas ke Taiwan bagi aksi Kumpulan D pusingan kedua Kelayakan Piala Dunia 2026/ Piala Asia 2027. -FOTO Aizuddin Saad
SKUAD Harimau Malaya berlepas ke Taiwan bagi aksi Kumpulan D pusingan kedua Kelayakan Piala Dunia 2026/ Piala Asia 2027. -FOTO Aizuddin Saad
Syazwan Msar


Sepang: Penjaga gol utama skuad Harimau Malaya, Ahmad Syihan Hazmi Mohamed tidak lagi rela melihat gawang pasukan kebangsaan terus dibolosi apabila bertemu Taiwan pada kempen pusingan kedua Kelayakan Piala Dunia 2026/Piala Asia 2027, Selasa ini.

Syihan yang juga penjaga gol Johor Darul Ta'zim (JDT) berkata, sudah menjadi impiannya mahu melihat gawang skuad Harimau Malaya kebal untuk memberi kelebihan bagi mengumpul lebih banyak mata dalam saingan kelayakan itu.

Katanya, perkara penting ketika ini adalah terus kekal fokus dan mengelak daripada melakukan kesilapan mudah hingga menyebabkan skuad Harimau Malaya gagal meraih tiga mata penting dalam usaha mengukuhkan kedudukan dalam kumpulan D.

"Segala-galanya berjalan lancar dan tak boleh ambil mudah kerana setiap pemain perlu fokus 100 peratus untuk pastikan dapat tiga mata.

"Sebagai pemain kita tak boleh lari (daripada kesilapan) namun perkara penting adalah buat kerja kita dan apa yang kurang perlulah diubah.

"Setiap penjaga gol sudah pastinya tidak mahu bolos. Namun, perkara sudah terjadi dan tak boleh nak ubah sekali gus perlu melihat pada masa akan datang," katanya, ketika ditemui di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA), sebentar tadi.

Mengikut rekod, berdasarkan kepada dua perlawanan terdahulu menyaksikan penjaga gol berusia 27 tahun terbabit sudah dibolosi lima gol.

Skuad Harimau Malaya sebelum ini tewas 0-2 pada pentas final Pestabola Merdeka 2023 namun berjaya meraih kemenangan 4-3 menentang Kyrgyzstan pada perlawanan pertama kumpulan D pusingan kedua Kelayakan Piala Dunia 2026/Piala Asia 2027 Khamis lalu.

Skuad Harimau Malaya berlepas ke Taiwan awal pagi esok bagi mengharungi perlawanan kedua kumpulan D dengan sasaran mengutip tiga mata penuh.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 19 November 2023 @ 1:16 PM