ZAINAL berkata banyak perkara sudah diperbaiki sejak daripada tempoh dua tahun lalu. FOTO NSTP
ZAINAL berkata banyak perkara sudah diperbaiki sejak daripada tempoh dua tahun lalu. FOTO NSTP
Syazwan Msar


Kuala Lumpur: Skuad Harimau Malaya tidak tersasar daripada matlamat mereka walaupun ranking pasukan kebangsaan ketika ini jatuh buat kali pertama dalam tempoh 14 bulan baru-baru ini.

Hal ini kerana, menurut legenda bola sepak kebangsaan, Datuk Zainal Abidin pasukan kendalian Kim Pan Gon semakin meningkat dengan mampu menguji taring lawan yang berada di ranking lebih baik.

Zainal berkata, Pan Gon sudah pastinya mengetahui situasi terbabit bakal berlaku dan merangka strategi lebih berkesan dalam memperbaiki kedudukan skuad Harimau Malaya selain memperkemaskan lagi pasukannya dalam mengharungi perlawanan akan datang.

"Skuad Harimau Malaya berada di landasan yang betul, sekarang ini kita dapat melihat mereka beraksi dengan baik dan banyak perkara sudah diperbaiki sejak daripada tempoh dua tahun lalu.

"Saya juga berpendapat Pan Gon mungkin sudah berkira-kira segala kemungkinan akan berlaku sebelum mengharungi kejohanan Piala Asia.

"Apa yang penting adalah sokongan daripada semua pihak supaya pasukan kita akan tampil lebih meyakinkan pada Piala Asia tahun depan," katanya.

Selain itu, bekas penyerang kebangsaan itu berkata, antara kesilapan atau kelemahan yang mungkin harus diperbaiki skuad kebangsaan adalah di bahagian jentera serangan.

"Pada perlawanan Pestabola Merdeka menentang Tajikistan lalu menyaksikan kita banyak mencipta peluang namun tidak diterjemahkan kepada gol.

"Sebagai bekas penyerang kebangsaan, perkara penting dalam setiap perlawanan adalah menjaringkan gol. Oleh itu pada perlawanan akan datang iaitu kelayakan Piala Dunia 2026/Piala Asia 2027, perlulah atasi kelemahan ini," katanya.

Mengikut rekod, Malaysia diundi dalam Kumpulan D untuk kelayakan Piala Dunia 2026/Piala Asia 2027 November ini bersama Oman (kedudukan 72 dunia), Kyrgyzstan (97) dan Taiwan (152).

Skuad kendalian Pan Gon akan melayan kunjungan Kyrgyzstan pada perlawanan pertama peringkat kumpulan pada 16 November di Stadium Nasional di Bukit Jalil sebelum berlepas ke Taipei untuk menentang Taiwan pada 21 November.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 29 Oktober 2023 @ 3:04 PM