PEMAIN skuad negara gigih berlatih di Wisma FAM menjelang perlawanan penting menentang Oman di Stadium Nasional Bukit Jalil, malam esok. FOTO FB FAM
PEMAIN skuad negara gigih berlatih di Wisma FAM menjelang perlawanan penting menentang Oman di Stadium Nasional Bukit Jalil, malam esok. FOTO FB FAM
Syazwan Msar


Kelana Jaya: Tampil serba kekurangan tanpa perlawanan kompetitif dan kurang latihan bukanlah alasan buat skuad Harimau Malaya 'duduk saja' pada aksi Kumpulan D kelayakan Piala Dunia 2026/Piala Asia 2027 menentang Oman, malam esok.

Pengendali Harimau Malaya, Kim Pan-gon berkata, anak buahnya sekurang-kurangnya perlu membawa pulang satu mata pada pertemuan di Stadium Nasional Bukit Jalil (SNBJ) itu dalam usaha mengukuhkan kedudukan dalam Kumpulan D.

Jurulatih berusia 54 tahun itu berkata, barisan anak buahnya sudah bersedia menggalas cabaran menyekat kemaraan Oman selain turut berusaha sedaya upaya membawa pulang mata pada perlawanan terbabit.

"Kami akan guna segala kelebihan yang ada untuk meraih keputusan positif dan mengharapkan penyokong datang ke stadium untuk memberikan sokongan.

"Oman adalah pasukan yang bagus dan sudah tentu mereka akan bermain dengan corak menyerang untuk meraih tiga mata dalam usaha mengukuhkan penguasaan dalam Kumpulan D.

"Walaupun kita tidak mempunyai perlawanan kompetitif dan tempoh latihan terhad, barisan pemain mempamerkan komitmen tinggi untuk pasukan sepanjang tempoh kempen kelayakan Piala Dunia 2026/Piala Asia 2027," katanya pada sidang media praperlawanan Malaysia menentang Oman di Wisma Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM), hari ini.

Skuad negara tumbang 0-2 pada perlawanan di Muscat, Jumaat lalu dan Pan-gon sudah pun menyedari kesukaran dihadapi anak buahnya yang dianggap tidak memiliki kecergasan terbaik berikutan saingan Liga Malaysia (Liga M) hanya akan membuka tirai pertengahan Mei depan.

Harimau Malaya memulakan kempen Kumpulan D dengan langkah kanan apabila membenam Kyrgyzstan 4-3 di SNBJ sebelum menang 1-0 ke atas Taiwan di Taipei.

Kekalahan sulung Harimau Malaya di tangan Oman, Jumaat lalu menyaksikan skuad negara kini berada di tangga ketiga kumpulan, berkongsi enam mata dengan Oman dan Kyrgyzstan.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 25 Mac 2024 @ 2:31 PM