SEJUMLAH 9,856 tiket dijual untuk perlawanan antara Malaysia dan Taiwan, setakat jam 12 tengah hari tadi. FOTO FB FAM
SEJUMLAH 9,856 tiket dijual untuk perlawanan antara Malaysia dan Taiwan, setakat jam 12 tengah hari tadi. FOTO FB FAM
Syazwan Msar


Kuala Lumpur: Perlawanan aksi kelayakan Piala Dunia 2026/Piala Asia 2027 membabitkan Malaysia menentang Taiwan di Stadium Nasional Bukit Jalil (SNBJ), malam ini, dijangka sunyi atau 'sendu'.

Ini kerana, setakat jam 12 tengah hari tadi, Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) menerusi laman Facebook rasmi memaklumkan hanya 9,856 tiket terjual.

Jumlah itu boleh dikatakan masih sedikit jika dibandingkan dengan kapasiti stadium yang mampu memuatkan lebih 80,000 penonton.

Terdapat kemungkinan perlawanan berlangsung pada hari bekerja menjadi antara faktor penyokong berkira-kira atau sukar untuk menyaksikan perlawanan di stadium.

Bagaimanapun, masih ada masa untuk jumlah jualan tiket itu terus meningkat dengan aksi berkenaan akan berlangsung pada 9 malam ini.

Skuad negara amat mengharapkan sokongan padu daripada penyokong yang turut digelar ekor Harimau Malaya dalam usaha merealisasikan impian meraih kemenangan besar ke atas Taiwan.

Sementara itu, pengendali Harimau Malaya, Kim Pan-gon dalam sidang media semalam, memohon 'bantuan' daripada penyokong untuk membanjiri SNBJ bagi menaikkan moral pemain yang berdepan situasi getir untuk melepasi kelayakan Kumpulan D.

Harimau Malaya memerlukan kemenangan sekurang-kurangnya lapan gol serta mengharapkan Oman menewaskan Kyrgyzstan di Muscat untuk layak ke pusingan ketiga kelayakan Piala Dunia 2026 dan meraih tiket awal ke Piala Asia 2027 di Arab Saudi.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 11 Jun 2024 @ 2:57 PM