Syazwan Msar

Sepang: Skuad Harimau Malaya tidak mempunyai pilihan selain perlu membawa pulang tiga mata dalam meneruskan 'kelangsungan' pasukan dalam kempen pusingan kedua Kelayakan Piala Dunia 2026/Piala Asia 2027.

Hal ini kerana, keputusan seri atau lebih buruk lagi tewas pada pertemuan menentang Taiwan, Selasa ini, akan menyebabkan peluang Malaysia untuk melangkah ke pusingan seterusnya semakin kelam dan penuh berduri sekali gus kemenangan menentang Kyrgyzstan adalah sia-sia.

Pertahanan kental negara Corbin Ong berkata, kegagalan membawa pulang tiga mata sudah pastinya mengundang kekecewaan kepada pasukan yang ketika ini dalam 'mood' gembira selepas menumpaskan pasukan yang berada di ranking 97 dunia.

"Skuad Harimau Malaya mempunyai kualiti dengan barisan pemain memberikan komitmen tinggi dalam pasukan untuk memenangi perlawanan menentang Taiwan.

"Namun, sudah pastinya jika tidak dapat membawa pulang tiga mata akan menyebabkan pasukan kecewa atau sedih.

"Saya yakin tiga mata boleh diperoleh kerana berdasarkan kepada prestasi pasukan kebangsaan dan juga Taiwan ketika ini," katanya, ketika ditemui di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA), sebentar tadi.

Terdahulu, skuad kendalian Kim Pan-gon membuktikan mereka berada di kelas tersendiri apabila berjaya menewaskan Kyrgyzstan 4-3 dalam aksi sulung Kumpulan D Kelayakan Piala Dunia 2026/Piala Asia 2027 di Stadium Nasional Bukit Jalil, Kelmarin.

Skuad Harimau Malaya akan berlepas ke Taiwan awal pagi esok bagi mengharungi perlawanan kedua kumpulan D dengan sasaran mengutip tiga mata penuh.

Berdasarkan kepada ranking Persekutuan Bolasepak Malaysia (Fifa) menyaksikan ketika ini Malaysia berada di kedudukan 137 manakala Taiwan di tempat 152.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 19 November 2023 @ 1:21 PM