RONALDO menjerit puas selepas meledak gol buat Portugal. -FOTO AFP
RONALDO menjerit puas selepas meledak gol buat Portugal. -FOTO AFP
reutets

Vaduz, Liechtenstein: Cristiano Ronaldo meledakkan gol untuk membantu Portugal menewaskan Liechtenstein 2-0 aksi kelayakan Kumpulan J Euro 2024.

Pemain berusia 38 tahun itu kini terikat selaku penjaring terbanyak dalam kempen kelayakan Euro kali ini bersama pemain Belgium, Romelu Lukaku.

Dengan tempat mereka ke pusingan akhir sudah terjamin, Portugal berada di puncak kumpulan dengan 27 mata, lapan mata di depan Slovakia di tempat kedua.

Liechtenstein berada kedudukan tercorot selepas gagal meraih sebarang mata selepas sembilan perlawanan.

Pengurus Portugal, Roberto Martinez memutuskan untuk tidak merehatkan mana-mana pemain utama namun mereka dilihat bergelut menentang pasukan yang jauh lebih rendah mereka apabila gagal memecahkan kebuntuan pada separuh masa pertama.

Bagaimanapun selepas rehat, lorongan Diogo Jota sampai kepada Ronaldo dan pemain Al-Nassr itu menewaskan dua pertahanan Liechtenstein sebelum merembat bola untuk gol pertama Portugal.

Ronaldo turut melebarkan jumlah jaringannya sebagai penjaring terbanyak di pentas antarabangsa kepada 128 gol dalam 204 perlawanan.

Joao Cancelo menambah jaringan pada minit minit ke-56 dengan menolak bola ke gawang kosong selepas penjaga gol Liechtenstein, Benjamin Buechel terkeluar dari posisinya.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 17 November 2023 @ 8:23 AM