KEAN (kiri) menjaringkan gol tunggal perlawanan menentang Empoli di Turin awal pagi tadi. — FOTO AFP
KEAN (kiri) menjaringkan gol tunggal perlawanan menentang Empoli di Turin awal pagi tadi. — FOTO AFP
AFP

BINTANG muda sedang meningkat Moise Kean menjadi penyelamat ketika ketiadaan Cristiano Ronaldo untuk membantu kemenangan 1-0 Juventus ke atas Empoli awal pagi tadi tatkala juara bertahan itu melonjak 18 mata di puncak Serie A.

Pemain berusia 19 tahun itu – yang mencuri tumpuan ketika perlawanan pembukaan Itali pada kelayakan Euro 2020 – masuk sebagai pemain gantian di Turin dan pada minit ke-71 meledak gol ketiga liga musim ini selepas dua gol menentang Udinese awal bulan ini.

“Saya bukannya (Lionel) Messi atau Cristiano tapi satu hari nanti saya berharap menjadi seperti mereka,” kata Kean selepas Juventus kembali mencetak kemenangan susulan kekalahan pertama liga musim ini di tangan Genoa sebelum rehat tugasan antarabangsa.

Persembahan Kean, dengan gol buat Itali menentang Finland dan Liechtenstein, memberikan jurulatih Massimiliano Allegri lebih banyak pilihan bagi aksi suku akhir Liga Juara-Juara menentang Ajax.

KEAN permata baru Juventus dan Itali. — FOTO AFP
KEAN permata baru Juventus dan Itali. — FOTO AFP

Kean muncul pemain kedua termuda selepas Mario Balotelli, berusia 18 tahun dan 242 hari pada 2009, untuk menyumbat lapan gol Serie A.

“Saya sedia memburu rekod baru,” katanya.

“Apa yang Mister Allegri kata betul: Saya harap untuk menjadi seperti pemain terhebat di dunia, menerusi komitmen dan kerja keras.”

Pasukan tangga kedua Napoli berkunjung ke AS Roma awal pagi esok dengan harapan untuk merapatkan jurang kepada 15 mata dengan berbaki sembilan perlawanan.

Ronaldo direhatkan Juventus menentang Genoa dan bintang Portugal itu kini memulihkan diri daripada kecederaan paha kanan dialami ketika tugasan antarabangsa.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 31 Mac 2019 @ 10:04 AM